Sambutan Istimewa Sempena Kepulangan JDT

JOHOR BAHRU – Johor akan mengadakan majlis sambutan istimewa untuk pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) yang berjaya merangkul kejuaraan Piala AFC 2015, di Dushanbe, Tajikistan, kelmarin.

 

Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar menerusi laman Facebooknya (FB) semalam memberikan janji itu bagi meraikan kemenangan pasukan berkenaan.

 

Baginda turut berada di Stadium Central Republican, Dushanbe menyaksikan JDT menewaskan FC Istiklol, 1-0.

 

“Kami akan memberikan sambutan istimewa untuk seluruh barisan JDT pada saat kepulangan kamu nanti kerana kamu layak menerima yang terbaik.

 

“Saya berterima kasih kepada JDT kerana mengharumkan nama Johor ke persada dunia,” titahnya.

 

Sultan Johor bertitah, rakyat Johor sangat berbangga dengan kejayaan JDT itu.

 

“Tahniah Johor Darul Ta’zim! (JDT). Anda menempa sejarah dengan memenangi Piala Asian Football Confederation (Piala Konfederasi Bola Sepak Asia) dan kami semua amat berbangga dengan kejayaan kamu.

 

“Ini adalah saat yang sarat dengan emosi dan kegembiraan bagi kami yang berada di Dushanbe untuk memberikan sokongan kami kepada JDT, begitu juga pada seluruh rakyat Johor yang menyaksikan perlawanan akhir Piala AFC di kaca TV,” titahnya. – BHarian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.