Taktik Berkonvoi Ketum Gagal

Padang Besar – Taktik lapan lelaki menunggang motosikal secara berkonvoi dengan meletak guni besar berisi daun ketum di depan dan belakang jentera mereka melalui kebun getah untuk diseludup ke negara jiran gagal apabila dua daripada mereka ditahan anggota Unit Pencegah Penyeludupan (UPP) Chuping di sini, semalam.

Serbuan jam 5.30 pagi, kira-kira 100 meter dari kawasan pagar sempadan Malaysia-Thailand, merampas 18 guni daun ketum seberat 689 kilogram bernilai lebih RM55,000.

Difahamkan, ia cuba diseludup pada awal pagi untuk dipasarkan ke negara jiran berikutan permintaan tinggi.

Komander UPP Chuping Asisten Superintendan Mohd Hafiz Abd Rahim berkata, pihaknya melakukan intipan di kawasan berkenaan hasil maklumat awam juga risikan.

“Kami mengesan pergerakan sekumpulan penunggang motosikal menghampiri kawasan pagar sempadan dari arah ladang getah yang terletak 100 meter dari sempadan Malaysia-Thailand.

“Mereka dilihat membawa beberapa bungkusan besar di depan dan belakang setiap motosikal. Kami kemudian menahan kumpulan terbabit untuk pemeriksaan.

“Kumpulan terbabit cuba melarikan diri, namun dua penunggang yang berusia 17 serta 20 tahun ditahan,” katanya pada sidang media di Kem UPP Chuping.

Menurut beliau, pihaknya turut merampas lapan motosikal bernilai RM16,000 yang digunakan suspek dalam kejadian itu.

“Daun ketum serta motosikal terbabit diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padang Besar untuk siasatan lanjut,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.