Masih Ramai Pemandu Abaikan Amaran Spesifikasi Yang Ditetapkan JPJ

Shah Alam – Operasi selama lima jam berakhir jam 2 petang diadakan dalam usaha mengesan pemandu dan pemilik kenderaan yang masih ingkar melakukan pengubahsuaian tanpa mengikut spesifikasi ditetapkan JPJ.

“Betul ke? Saya tak tahu pula ini salah,” itulah alasan yang diberikan rata-rata pemilik kenderaan apabila ditahan dalam Ops Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di Plaza Tol Sungai Rasau di sini, semalam.

Pada bulan lalu, JPJ sudah mengadakan advokasi dan memberi amaran kepada pemandu dan pemilik kenderaan berkenaan empat kesalahan utama yang membabitkan nombor pendaftaran, cermin gelap, lampu Pelepasan Intensiti Tinggi (HID) dan lampu ‘strobe light’.

Ketua Bahagian Penguat Kuasa JPJ Selangor Adenan Md Isa berkata, sikap ambil mudah dan tidak prihatin dalam kalangan pemandu dan pemilik kenderaan dilihat sebagai punca mengapa mereka masih membuat pengubahsuaian tidak mengikut spesifikasi yang ditetapkan walaupun JPJ sudah mengadakan advokasi serta mengeluarkan notis supaya berbuat demikian.

Katanya, JPJ sudah memberikan tempoh sehingga kelmarin untuk pemilik kenderaan melakukan pengubahsuaian mengikut spesifikasi tetapi hasilnya masih ramai pemilik yang ingkar berbuat demikian.

“Hari ini (semalam), JPJ Selangor mengadakan operasi di seluruh negeri, antaranya di Banting, Kuala Selangor, Semenyih serta Ijok yang mana 1,823 kenderaan diperiksa.

“Daripada jumlah itu, 495 kesalahan dicatatkan dan JPJ mengeluarkan sebanyak 413 saman kepada pemandu kenderaan terhadap pelbagai kesalahan termasuk melakukan pengubahsuaian tanpa mengikut spesifikasi yang ditetapkan,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.