Lepas Dikecam Teruk, Mat Yo ‘Dilelong’ Dengan Harga RM2

Kuala Lumpur – Gara-gara kalah dengan pasukan Pahang dalam perlawanan akhir Piala Malaysia malam tadi, pemain pasukan Johor Darul Takzim (JDT), Norshahrul Idlan Talaha atau lebih dikenali sebagai Mat Yo di kalangan peminat, dijadikan bahan lawak di media sosial.

Prestasi permainannya yang semakin merosot dan gagal menyerlah ketika pasukan Harimau Selatan itu bertemu dengan pasukan Tok Gajah menjadikan rata-rata peminat pasukan JDT, kecewa.

Akibatnya, Mat Yo ‘dijual’ dengan harga RM2 di laman lelong Mudah.my.

Jualan itu dikongsi di laman media sosial hari ini, namun, ia diturunkan tidak lama selepas itu.

Selain daripada itu, beliau turut dihentam teruk oleh penyokong bola sepak di laman sosial sejak malam tadi.

Pelbagai kritikan dan kutukan terhadap pemain berkenaan menjadi viral di internet, dengan komen-komen negatif yang menyifatkannya sebagai dalang kekalahan JDT memenuhi hampir setiap dinding di laman Facebook dan Twitter.

Tinjauan SuaraTV mendapati ada dikalangan peminat yang cuba mengaitkan kekalahan tersebut sebagai badi yang menimpa Mat Yo ekoran kes yang melibatkan pengawal keselamatan yang dikenali sebagai pakcik Azman tidak lama dahulu.

Di laman sosial Whatsapp pula, bertebaran ‘komik’ dengan kata-kata sinis ditujukan kepada pemain tersebut kerana gagal menyempurnakan sepakan penalti, sekaligus menyebabkan kemenangan kepada pasukan Pahang.

Dalam saingan merebut Piala Malaysia 2014, di Stadium Bukit Jalil malam tadi, JDT dan Pahang pada mulanya terikat dengan kedudukan 2-2 dalam tempoh permainan sebenar 90 minit.

Kedua-dua pasukan berkenaan juga gagal mencipta jaringan walaupun dalam diheret dalam masa tambahan 30 minit, menyebabkan kedua-duanya terus diheret ke dalam penentuan sepakan penalti.

Dalam tiga sepakan penalti pertama, kedua-dua pasukan beraksi cemerlang apabila pemain yang ditampilkan berjaya menyepak membolosi gawang.

Pahang meneruskan kecemerlangan pada sepakan penalti keempat, manakala Mat Yo yang menyempurnakan sepakan keempat untuk JDT walau bagaimanapun tewas di tangan penjaga gol Pahang, Khairul Azhan Khalid.

Pemain Pahang, Hafiz Kamal kemudiannya meneruskan kecemerlangan apabila sepakan penalti kelima untuk pasukan Tok Gajah itu bolos ke gawang seterusnya menyaksikan Harimau Selatan terpaksa berputih mata.

Pahang berjaya menewaskan JDT dalam sepakan penentuan penalti 5-3, setelah berhempas pulas bermain selama 120 minit.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.