Kemakmuran, Keharmonian Terus Dikecapi Jika Rakyat Kekal Bersatu – Najib

Kuala Lumpur – Rakyat Malaysia akan terus mengecapi kemakmuran dan keharmonian jika kekal hidup bersatu padu bersama-sama, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata konsep kebersatuan dalam kepelbagaian di Malaysia yang telah disemai sejak sekian lama tidak dapat ditemui di mana-mana tempat lain di dunia, menjadikan negara ini amat istimewa.

“Sekiranya kita kekal bersatu padu bersama-sama, tiada sebab mengapa semua rakyat Malaysia tidak boleh mengecapi kemakmuran dan keharmonian di bumi Malaysia yang kita cintai ini,” kata Najib menerusi tulisan terbarunya bertajuk ‘Majlis Rumah Terbuka Malaysia Deepavali 2014’ dalam blog najibrazak.com, Ahad.

Menurut Perdana Menteri, pada Majlis Rumah Terbuka Malaysia Deepavali 2014 di Melaka, Sabtu, beliau menyatakan bahawa kerajaan akan terus berusaha memastikan masyarakat India maju seiring dengan kaum lain di Malaysia.

Justeru, kata Najib, kerajaan telah membentuk Jawatankuasa Kabinet Mengenai Hal Ehwal India yang pengerusikannya sendiri.

“Malah, dalam Bajet 2015, saya turut mengumumkan beberapa inisiatif khas untuk kaum India, antaranya pinjaman TEKUN (Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga) berjumlah RM50 juta, skim pembangunan usahawan masyarakat India dan pinjaman mikro kredit sebanyak RM30 juta melalui Amanah Ikhtiar Malaysia,” kata Perdana Menteri.

Selain itu, beliau berkata, kerajaan menyediakan skim usahawan wanita India, peruntukan RM30 juta untuk latihan belia India dan RM50 juta untuk membaik pulih dan menyelenggara sekolah aliran Tamil.

Menurut Najib, segala inisiatif itu diambil bagi menerapkan dan mengukuhkan lagi semangat ‘Nambikei’ (kepercayaan) dalam proses Malaysia menuju ke arah negara maju menjelang tahun 2020.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.