Sultan Ibrahim bertitah, baginda amat kesal apabila terdapat dakwaan yang kini tular dalam laman media sosial mendakwa keluarga diraja Johor mengambil tanah sebuah sekolah agama swasta di Johor Bahru.

“Jangan senang sangat membuat apa-apa (tuduhan) atau sebarang kenyataan tanpa merujuk terhadap mereka yang berkaitan (officials) atau kerajaan dahulu,” titah baginda menerusi akaun Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, di sini hari ini.

Baginda bertitah, perkara tersebut juga sengaja disebarkan dalam media sosial walaupun berita itu adalah tidak benar.

Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar turut memuat naik satu paparan akaun Twitter dengan nama ArieCadaver yang menyatakan mengenai tanah sebuah sekolah agama swasta asalnya milik persendirian diambil paksa oleh keluarga diraja Johor.

Tweet akaun tersebut berbunyi: “Berlaku kisah sekolah agama swasta di JB (sekolah sepupu sy) yang tanahnya telah diwakafkan orang awam, yakni asalnya hak milik persendirian, diambil paksa oleh Royal Johor hingga sekolah terpaksa dipindahkan tahun depan. Orang Johor je faham,”. – UTUSAN ONLINE