Beliau berkata, Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2015 oleh Kementerian Kesihatan mendapati prevalen atau masalah kesihatan mental sering berlaku pada mereka yang berumur 16 tahun dan ke atas iaitu sebanyak 29.2 peratus atau 4.2 juta orang.

Katanya, kajian yang sama pada tahun lalu menunjukkan tiga penyakit mental utama dalam kalangan remaja di sekolah ialah berkaitan cemas iaitu 39.7 peratus diikuti kemurungan (18.3 peratus) dan tekanan (9.6 peratus).

“Justeru, khidmat kaunseling perlu bermula di peringkat awal iaitu intervensi di pe­ringkat pelajar sekolah dan ibu bapa mereka yang berkaitan.

“Kajian dalam bidang kaunseling yang berkesan dan terkini diperlukan agar intervensi dapat dilaksanakan secara relevan sejajar dengan permasalahan kompleks masa kini,” katanya.

Beliau yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata demikian ketika berucap dalam majlis pelancaran Bulan Kaunseling Kebangsaan di sini hari ini.

Turut hadir, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Ke­luarga dan Masyarakat, Hannah Yeoh dan Presiden Lembaga Kaunselor Malaysia, Prof. Madya Dr. Wan Marzuki Wan Jaafar.

Dr. Wan Azizah menyeru setiap kaunselor yang berdaftar dengan Lembaga Kaunselor meningkatkan kemahiran melalui program pembelajaran profesional berterusan (CPD) agar lebih banyak rakyat mendapat akses kepada perkhidmatan kaunseling.

Dalam pada itu, beliau yang kesal dengan kejadian liwat seorang pengetua pusat tahfiz ke atas pelajarnya baru-baru ini mahukan intervensi sosial dilaksanakan dalam menangani permasalahan tersebut.

“Di sinilah peranan pegawai sosial dan kaunselor diperlukan dalam memberikan intervensi krisis yang bersesuaian, bukan sahaja kepada mangsa terlibat tetapi juga pelajar lain di sekolah tersebut termasuk ibu bapa dan guru-guru.

“Malah, perkhidmatan kaunseling sewajarnya diberikan kepada pelaku itu sendiri kerana kaunselor profesional seharusnya menerima klien tanpa syarat atau berat sebelah,” katanya. – UTUSAN ONLINE