Saya Tidak Harapkan Permohonan Maaf Dr M – Anwar

KUALA LUMPUR: “Saya tidak pernah mengharapkan permohonan maaf daripada Tun Dr Mahathir Mohamad, namun saya sudah memaafkan beliau,” kata Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurut Anwar, beliau sudah berpuas hati dengan kesediaan Dr Mahathir untuk bekerjasama dan melupakan kisah lalu demi melangkah ke depan.

Katanya, permohonan maaf itu sebenarnya adalah gesaan daripada media atau BBC.

“Malah saya juga sudah maafkan Datuk Seri Najib (Razak) atas kapasiti peribadi tetapi beliau perlu menghadapi dakwaan berhubung skandal penyalahgunaan dana awam, itu isu yang berlainan.

“Dengan Dr Mahathir pula, saya tidak perlu mengulas lanjut kerana beliau sudah berjaya melaksanakan agenda reformasi, malah menerima saya sebagai rakan.

“Dalam hal ini, itu sudah cukup,” katanya ketika ditemui media pada majlis Sambutan Memperingati 150 Tahun Kelahiran Mahatma Gandhi anjuran Pusat Kebudayaan India Netaji Subhash Chandra Bose di ibu negara, hari ini.

Hadir sama, Menteri Sumber Manusia, M Kulasegaran dan Pesuruhjaya Tinggi India ke Malaysia, Mridul Kumar.

Beliau mengulas mengenai kenyataan Dr Mahathir dalam wawancara bersama program Hardtalk, BBC, hari ini, bahawa beliau tidak pernah memohon maaf secara rasmi kepada bekas timbalannya itu.

Dalam wawancara berkenaan, Dr Mahathir turut menafikan beliau sudah meminta maaf. Kata Dr Mahathir, perkara itu tidak dibincangkan sebelum ini.

“Kami berdua hanya menumpukan perhatian untuk menyingkirkan Datuk Seri Najib (Razak),” katanya.

Anwar dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri pada 1 Disember 1993 sebelum dipecat oleh Dr Mahathir pada 2 September 1998, kemudian didakwa dan dipenjara atas tuduhan rasuah serta liwat. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.