Menurut beliau, akibat kekurangan dana, tidak ada poster dan risalah kempennya dipasang sehingga hari ini dan beliau berharap orang ramai menyalurkan sumbangan.

“Saya dengan rendah diri merayu bantuan rakyat Malaysia dan badan korporat. Saya mengakui memerlukan bantuan kewangan untuk melancarkan kempen sehingga hari mengundi nanti.

“Saya mewujudkan tabung khas bukan untuk kepentingan peribadi saya, sumbanglah seikhlas hati walaupun RM1 kerana ia amat bermakna untuk saya meneruskan perjuangan,” katanya dalam sidang akhbar melancarkan tabung tersebut di sini hari ini.

Mohd. Saiful Bukhari berkata, beliau berjanji akan mengisytiharkan jumlah sumbangan yang diterima menerusi akaun peribadinya itu bagi memastikan ketelusannya.

“Saya juga mempelawa sekiranya ada sesiapa yang ingin menyertai jentera kempen saya secara sukarela, saya amat mengalu-alukannya. Saya memerlukan sokongan kerana ketika ini bergerak sendiri tanpa jentera parti,” katanya.

Bekas pembantu peribadi calon Pakatan Harapan, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu berkata, PRK Parlimen Port Dickson hanya menyusahkan rakyat kerana mereka telah mengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-14, Mei lalu selain ia menelan kos yang besar.

“Ketika rakyat dimomokkan dengan ekonomi negara yang tidak sihat, negara sedang menunjuk kebankrapan, sepatutnya Putrajaya hari ini bekerja untuk menstabilkan ekonomi negara dan bukannya membuang masa dengan politik peribadi individu tertentu,” ujarnya.

Beliau yang menggunakan simbol kunci turut meminta agar tumpuan tidak hanya diberikan kepada Anwar dan beliau kerana terdapat lima calon lain yang turut bertanding dalam PRK itu. – UTUSAN ONLINE