Ribut Kuat Rosakkan Banyak Harta Benda Awam Di Klang

KLANG – Trafik di bandar ini bergerak perlahan berikutan kejadian ribut yang merosakkan bangunan, pokok dan harta benda petang Isnin.

Ribut yang berlaku kira-kira jam 2.30 petang Isnin itu menyebabkan bahagian depan papan iklan di Centro Mall tercabut seperti dipapar dalam video yang tular di laman sosial.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Selangor, Superintendan Azman Shariat berkata, lencongan ke Taman Seratus terus ke Jalan Batu Tiga Lama dilakukan susulan insiden pokok tumbang di Bulatan 100.

“Jambatan Musaidin dari arah Klang Selatan ke Klang Utara dan Jalan Meru Batu 1 dibuka satu lorong berikutan pokok tumbang.

“Anggota trafik sedang mengawal lalu lintas sementara kerja-kerja pembersihan dilakukan Majlis Perbandaran Klang,” katanya.

Sementara itu, sumber dari Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Pinang memaklumkan sekurang-kurangnya lapan aduan pokok tumbang diterima di Jalan Meru, Kapar, Bulatan 100 dan Bandar Baru Klang.

“Pokok tumbang di Bulatan 100 menghempap dua kenderaan yang sedang melalui jalan itu, namun kejadian tidak melibatkan mangsa,” katanya. – Sinar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.