Polis Tahan Warga Syria Yang Menetap Di KLIA2

LELAKI warga Syria, Hassan Al Kontar, yang berada di kawasan larangan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) sejak Mac lalu ditahan polis, semalam.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali berkata, pihaknya akan menunggu siasatan polis selesai, sebelum diambil alih oleh Jabatan Imigresen.

“Kita akan terus laksanakan kerjasama dengan kedutaan Syria untuk mengeluarkan dia dari negara kita.

“Dia tidak mahu balik ke Syria, katanya kerana tidak mahu jadi tentera atau apa juga alasannya. Bagaimanapun, kita kena ada penutup (penyelesaian) kerana dia memalukan negara kita,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Pelancaran Narrowcasting Media dan Visa Pas Versi Baharu di Putrajaya, hari ini.

Mustafar berkata, Hassan masuk ke Malaysia pada Mac lalu dan selepas pasnya tamat tempoh, dia masuk ke Kemboja.

“Di sana, dia tidak dibenarkan masuk kerana sebab tertentu dan dia balik ke Malaysia. Dia usahakan pelbagai cara dan keluarkan kenyataan yang memalukan negara kita di media sosial.

“Ketetapan kita ambil kerana dia berada di kawasan larangan apabila pas pelepasan dan ketetapan visa pun sudah tidak ada, maka tindakan diambil,” katanya.

Hassan, 36, mendakwa tinggal di klia2 sejak 7 Mac lalu kerana bimbang akan ditangkap jika pulang ke Syria.

Sebelum ini, Hassan menghantar blog video mengenai kehidupan hariannya di Twitter dan Facebook sehingga menarik perhatian kumpulan hak asasi manusia dan media antarabangsa. – Hmetro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.