VIDEO: “Peruntukan Sudah Diluluskan Tapi Duit Tak Ada”, Jawatankuasa Masjid Saujana Puchong Luah Rasa Kecewa

Oleh: Shuhaniza Said

SUBANG JAYA – Jawatankuasa Penaja Masjid Saujana Puchong meluahkan rasa hairan susulan peruntukan bagi projek pembinaan Masjid Taman Saujana Bukit Puchong dibatalkan secara tiba-tiba sedangkan ia sudah mendapat kelulusan pada tahun lalu.

Penaung jawatankuasa itu, Datuk Mohd Shariff Iskandar berkata, perkara itu sekaligus merencatkan usaha pelaksanaan pembinaan masjid yang sudah dimulakan sejak 2013.

“(Tapi) Baru-baru ini dapat tahu daripada sekeliling, sehingga rakaman ini dirakam (30 September), kami barisan jawatankuasa pembangunan masjid masih tidak menerima surat penolakan peruntukan itu, kita tahu daripada orang lain,” katanya dalam temubual bersama SuaraTv.

Surat pembatalan peruntukan untuk pelaksanaan projek membina Masjid Saujana Puchong yang bertarikh 12 September baru-baru ini menjadi viral sehingga mengundang reaksi negatif daripada netizen.

Surat daripada Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Pejabat Pembangunan Persekutuan Negeri Selangor itu menyatakan pihak kerajaan melalui Kementerian Kewangan bersetuju supaya projek yang masih belum dilaksanakan ditangguhkan pelaksanaannya bagi memberi ruang kepada pihak kerajaan melaksanakan pelan rasionalisasi.

Justeru itu, menurut surat berkenaan, kerajaan telah membuat keputusan untuk membatalkan peruntukan bagi pembinaan masjid tersebut.

Bercerita lebih lanjut, Mohd Shariff berkata perkara itu sangat mengecewakan memandangkan pihaknya sendiri sudah menerima surat bahawa peruntukan untuk membina masjid berkenaan telah diluluskan Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Razak ketika itu) pada 8 Jun 2017 berjumlah RM3 juta ringgit, namun kini diberitahu ‘tiada peruntukan’.

“Diberi kelulusan tapi duit tak ada. Ini diakui oleh YB Dr Mariah Mahmud (ADUN Seri Serdang).

“Tapi jangka masa kan lama dari 2017 (tarikh peruntukan diluluskan) sehingga sekarang…kalau duit tak ada, kita barisan jawatankuasa nak pergi merancang, masakan (boleh) sebab mereka yakinkan duit itu dah ada…RM3juta dah ada, cuma sekarang kata tak ada.

“Kalau yang ke belakang itu tak ada, jadi yang RM3 juta itu apa? Mungkin kami tak faham maksud ICU hanya kelulusan diberi tapi duit tak ada. Tapi ketika itu kita (jawatankuasa dan ICU) sudah berbincang, waktu tu tak disebut seperti itu pula,” katanya.

Apa yang lebih dikesalkan kata Mohd Shariff, pihak jawatankuasa langsung tidak dimaklumkan mengenai pembatalan peruntukan berkenaan, sebaliknya hanya mengetahui perkara berkenaan selepas surat itu viral di media sosial.

“Patutnya benda-benda seperti ini, ICU Selangor maklumkan dulu pada barisan jawatankuasa masjid, sebab kami ini yang berurusan dengan pihak tuan… Saya mohon maaf sebab isu ini melibatkan masyarakat,” katanya lagi.

Mohd Shariff berkata, pihaknya sudah merujuk perkara ini kepada ADUN Seri Serdang, Dr Siti Mariah Mahmud.

Menurutnya, satu mesyuarat akan diadakan dalam masa terdekat bersama ICU, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) dan pihak jawatankuasa penaja sendiri bagi mencari penyelesaian terhadap isu berkenaan.

“Kami juga akan sebarkan menerusi Whatsapp untuk lancarkan tabung sumbangan untuk pembinaan masjid, saya merayu semua umat Islam khususnya penduduk Puchong ini, bantulah kami.

“Pada waktu yang sama jawatankuasa juga akan menulis surat seperti yang disaran YB Mariah iaitu menerusi kerajaan negeri dan pusat.. kami juga akan berjumpa menteri agama agar panjangkan isu ini kepada Perdana Menteri.

“Saya taknak menuding jari.. saya mohon, ini rumah Allah..kami daripada pihak jawatankuasa bekerja keras, dan masyarakat setempat sangat-sangat memerlukan masjid ini sebab sekarang surau Nurul Iman digunakan untuk solat Jumaat dan tak ada ruang lagi, sampaikan bila Imam baca khutbah di mimbar, bila nak solat, Imam terpaksa keluar berjalan dan solat depan masjid,” katanya lagi. -SuaraTV

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.