Melayu Perlu Ubah Sikap

KUALA LUMPUR – Orang Melayu perlu ubah sikap untuk mempertahankan hak masing-masing dan kepentingan kaum.

Bekas Naib Canselor Universiti Malaya, Prof Emiritus Datuk Dr Hashim Yaacob berkata, tiada masalah jika mahu mengambil pendekatan berlembut dalam menangani sesuatu, tetapi jangan sampai kepentingan kaum dan diri sendiri terjejas.

Beliau turut mengingatkan supaya bersikap adil dalam setiap perkara demi menjaga kepentingan semua pihak.

“Kita mesti bersikap adil bukan hanya untuk orang lain, tetapi untuk diri kita sendiri juga, iaitu hak kita, jangan kita beri.

“Kalau kita beri hak kita, kita tak berlaku adil pada diri sedangkan Tuhan suruh menjaga keluarga dulu secara halal, kemudian sahabat kita yang dekat, jauh dan orang-orang lain. Namun, dalam menjalankan perkara-perkara ini, kita jangan menganiaya orang dengan mengambil hak mereka,” katanya kepada media selepas program wacana ilmiah bertajuk Asal Usul Melayu Induknya di Benua Sunda, di sini, hari ini.

Hashim berkata, ALLAH SWT menjadikan setiap manusia dengan gen dan akal yang sempurna.

“Ada orang berikan alasan datang dari keluarga miskin tak boleh buat apa-apa, sedangkan kita dikurniakan akal yang sempurna. Seperti dalam peribahasa Melayu, belakang parang diasah lagikan tajam, inikan kita pula manusia.

“Kita bukan belakang parang, tetapi kita adalah mata parang. Sama ada kita mahu atau untuk asah atau biarkan ia berkarat dan tumpul…semua itu bergantung pada diri masing-masing,” katanya.

Menurutnya, semua perkara itu boleh diatasi menggunakan kekuatan ilmu, akal dan lain-lain seperti yang pernah diungkapkan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sebelum ini.

“Tun sebelum ini pernah kata, padi yang secupak itu, kalau kita tanam benihnya, nanti kita akan dapat bergantang.

“Begitu juga dengan kita, kalau kita berusaha, bersikap baik dan bijak gunakan benda yang sedikit, kita akan dapat hasil,” katanya. – SINAR HARIAN

One thought on “Melayu Perlu Ubah Sikap

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.