Kawalan Harga Barang dan Subsidi Boleh Atasi Tekanan Kos Sara Hidup

KUALA LUMPUR – Kawalan harga barang dan subsidi akan dapat mengatasi tekanan kos sara hidup yang dialami kumpulan isi rumah berpendapatan 40 peratus terendah (B40).

Pengarah Eksekutif Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER), Prof. Emeritus Dr. Zakariah Abdul Rashid berkata, kedua-dua langkah itu boleh dilaksanakan sebagai pendekatan jangka pendek.

Beliau menambah, selain itu, tindakan jangka panjang yang boleh diambil adalah mempertingkat pengeluaran dan memperbaiki rantaian pengedaran.

“Kita tidak dapat mengeluarkan barangan dalam kuantiti yang cukup, jadi kita kena import dan yang sedihnya, kita adalah pengimport bersih makanan,” katanya .

Beliau berkata demikian kepada Bernama sebelum rancangan Ruang Bicara Bernama News Channel baru-baru ini.

Zakariah merupakan antara panel jemputan bagi rancangan berkenaan.

Katanya, kelemahan pengedaran barangan ekoran dikuasai segelintir orang tengah dilihat sebagai antara punca peningkatan harga barang.

“Oleh itu, isu tersebut perlu diberi perhatian,” katanya.

Mengulas me­ngenai tekanan kos sara hidup di Malaysia, beliau berkata, keadaan itu di­sebabkan pendapatan isi rumah yang rendah, di samping kelemahan kadar tukaran ringgit berban­ding mata wang utama lain.

“Jika kadar tukaran rendah dan harga barangan dalam negara naik, ini memberi tekanan kerana pendapatan benar dan kuasa beli kita jatuh,” katanya.

Tambah beliau, tekanan kos sara hidup bukan sahaja dirasai oleh golongan B40, malah sebahagian kumpulan berpendapatan 40 peratus pertengahan (M40).

Kumpulan B40 terdiri daripada isi rumah berpendapatan di bawah RM3,900 sebulan, manakala M40 berpendapatan isi rumah antara RM3,860 hingga RM8,319. – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.