Dua Cedera ‘Buggy’ Dihempap Pokok

KUALA LUMPUR: Dua lelaki dilaporkan cedera selepas sebuah kenderaan ‘buggy’ yang mereka naiki ditimpa sebatang pokok tumbang dalam kejadian di sebuah kelab golf di Bukit Kiara di sini, petang tadi.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur, memberitahu sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Taman Tun Dr Ismail bergegas ke lokasi sebaik menerima laporan kejadian pada jam 5.29 petang.

“Kejadian membabitkan sebuah pokok tumbang dan sebahagian dahan menghempap buggy dinaiki dua mangsa berkenaan.

“Kedua-dua mangsa dilaporkan mengalami kecederaan ringan dan dihantar ke sebuah hospital swasta di Damansara Utama untuk rawatan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Ruslan Khalid, ketika dihubungi NSTP mengesahkan kejadian itu, namun memaklumkan pihaknya belum menerima sebarang laporan daripada mana-mana pihak berhubung kejadian itu.

“Kita sudah menghantar sepasukan anggota ke lokasi untuk melakukan pemeriksaan.

“Kita dimaklumkan kedua-dua mangsa hanya cedera ringan, bagaimanapun kita masih menunggu laporan lanjut.” katanya.

Tambah beliau, pihaknya belum dapat memastikan identiti kedua-dua mangsa sama ada mereka bermain golf di situ atau petugas kelab golf berkenaan.

Sementara itu, satu rakaman video selama 24 saat menunjukkan beberapa individu dipercayai petugas di kelab golf itu berusaha memotong dahan pokok untuk mengeluarkan dua mangsa yang tersepit di dalam buggy, kini tular di media sosial. – BERITA HARIAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.