Air Mata Najib Dan Tekad Zahid

Mungkin ada yang tidak sedar kehadiran Datuk Seri Najib Razak pada hari terakhir Perhimpunan Agung UMNO 2018, lewat petang kelmarin, terutama ahli parti yang tidak hadir ke Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) atau berada di luar persidangan.

Mungkin ada juga tidak sedar bekas Presiden UMNO itu begitu sebak dan tidak dapat menahan air matanya pada hujung perhimpunan, mungkin mengenangkan nasib diri serta parti yang pernah beliau terajui.

Bagi yang terlepas adegan sedih berkenaan, Facebook peribadi menjadi tempat Najib meluahkan perasaan: “Maafkan saya tak dapat nak tahan sebak dan air mata tadi. Saya sabar, saya reda. Ini semua ujian oleh Allah”.

Dengan status kini sekadar Ketua UMNO bahagian, Najib juga berkongsi harapannya kepada parti yang dahulu utuh, tetapi kini dilihat semakin rapuh, menzahirkan tekad untuk terus bersama UMNO yang mengangkatnya menjadi Perdana Menteri keenam.

“Selagi hayat dikandung badan, selagi masih bernafas dan roh dalam jasad, berjuanglah. Saya akan terus tetap bersama rakyat dan UMNO dulu, kini dan selamanya,” katanya.

‘Dulu, Kini dan Selamanya’ juga adalah slogan UMNO, merujuk tekad ahli parti berkenaan untuk kekal setia sepanjang masa, namun keadaan mutakhir menggambarkan keadaan sebaliknya.

Datuk Seri Najib Razak hadir pada hari terakhir Perhimpunan Agung UMNO 2018, lewat petang kelmarin di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC). – Foto ihsan Facebook Datuk Seri Najib Razak

Dahulu, UMNO pernah diharamkan, tetapi majoriti ahli dan pimpinannya terus setia kerana status parti berkenaan masih tunjang kerajaan, malah cabaran dunia politik tempatan ketika itu juga tidak sehebat sekarang.

Kini, UMNO dibelenggu pelbagai masalah untuk meneruskan perjuangan, lalu menimbulkan tanda tanya adakah parti mewakili orang Melayu dan Bumiputera ini masih relevan untuk selamanya bertahan.

Masalah UMNO

Bukan sedikit masalah dihadapi parti ini, baik yang diketahui umum, mahupun isu yang masih dirahsiakan dan hanya dalam pengetahuan pimpinan tertinggi parti atau pihak berkuasa dan kepemimpinan kerajaan.

Isu dalaman dihadapi UMNO bukan lagi rahsia, daripada masalah kewangan selepas akaun parti pada pelbagai peringkat dibekukan pihak berkuasa sehingga tindakan sesetengah pemimpin, termasuk wakil rakyatnya bertindak keluar parti dengan pelbagai alasan diberi.

Konflik dalam kalangan peneraju sedia ada dengan bekas pemimpin menambahburukkan keadaan, membuatkan ahli makin berserabut dan ramai juga sudah mula hilang keyakinan terhadap parti dan kepemimpinannya.

Paling nyata perbezaan pendapat adalah antara pemimpin muda dan tua, baik dalam jalinan kerjasama UMNO dengan PAS, mahupun hasrat untuk berbaik-baik dengan parti komponen dalam Pakatan Harapan (PH).

Pertembungan sekarang membabitkan generasi lama dan mereka yang mahu melaksanakan reformasi dalam parti agar menjadi lebih progresif selepas UMNO serta Barisan Nasional (BN) hilang kuasa pada Pilihan Raya Umum Ke-14.

Bukan lagi rahsia ada khilaf pemikiran antara Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, peneraju parti kini dan bekas Ketua Pemuda, Khairy Jamaluddin yang masih kuat pengaruhnya dalam kalangan pemimpin pelapis, walaupun statusnya sekarang sekadar Ahli Parlimen biasa.

“Kamu memimpin parti, perlu jelas. Kamu tidak boleh kata minggu lalu meneroka kerjasama dengan mana-mana parti dalam Pakatan Harapan dan hari ini pula kata nak lawan,” kata Ahli Parlimen Rembau itu seperti dilaporkan media.

Khairy adalah Timbalan Ketua UMNO Bahagian Rembau yang diketuai Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Tanpa merujuk mana-mana individu, Zahid membalas dengan nada berbaur sindiran, ada yang sebelum ini memberi pandangan bahawa UMNO tiada hala tuju, namun sekarang pula berpendapat hala tuju sahaja tidak cukup jika pemimpin tidak disukai.

Terserah kepada khalayak untuk mencari siapa yang dirujuk Presiden UMNO itu sebagai ‘tidak disukai’, tetapi bukan rahsia lagi memang ada konflik dalam kalangan pemimpin atau bekas pemimpin parti berkenaan.

Kekal atau bubar

Persoalan mengenai hala tuju UMNO juga antara yang menjadi topik perbahasan perwakilan pada Perhimpunan Agung yang berakhir kelmarin. Ada yang memberi macam-macam saranan, ada juga menyerahkan sepenuhnya tanggungjawab merencana masa depan parti kepada pimpinan atasan.

Pada peringkat bahagian juga – walaupun mungkin tidak semua – UMNO turut dikhabarkan dalam situasi yang tidak menentu dengan pelbagai masalah membelenggu. Paling ketara tentu masalah kewangan dan ada yang pemimpinnya keluar UMNO dan lompat ke parti lawan.

Seorang Timbalan Ketua UMNO bahagian memaklumkan, rakan yang dahulu setia bersama parti, malah pernah berada dalam tampuk kepemimpinan pada peringkat tempatan, kini sudah ada dalam kem parti komponen Pakatan Harapan.

Pemerhati politik berpendapat kemungkinan lebih ramai pemimpin dan ahli UMNO mengambil tindakan sama tidak ada kesudahan, apatah lagi ketika UMNO sukar bergerak kerana masalah kewangan dan dengan cakap-cakap ramai lagi pemimpinnya tersenarai disiasat pihak berkuasa.

Bekas Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO dan bekas Menteri Besar Selangor, Dr Mohamad Khir Toyo lebih berterus-terang dengan pendapat UMNO tidak perlu hala tuju baharu kerana parti itu bakal menjadi kenangan dan sejarah.

Pendapatnya itu berdasarkan apa yang dinyatakan Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad baru-baru ini, mengaitkan UMNO dengan kes pengubahan wang haram.

“Mungkin UMNO masih lupa mereka bukan lagi kerajaan yang boleh membuat keputusan akhir terhadap hampir semua keputusan dalam menentukan nasib sesebuah pertubuhan,” kata Dr Mohamad Khir seperti dilaporkan media, kelmarin.

Nada sama disuarakan Setiausaha Agung Veteran UMNO, Datuk Mustapha Yaakub yang meminta parti itu bersedia menghadapi sebarang kemungkinan, termasuk diharamkan.

Mustapha memberi peringatan itu susulan kenyataan Dr Mahathir bahawa Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) mampu menjadi pengganti kepada UMNO untuk membela nasib orang Melayu dan pribumi di negara ini.

Namun, Zahid sudah lama tidak bersetuju dengan pendapat itu, pernah lantang menegaskan beliau tidak akan membenarkan UMNO dibubarkan, apatah lagi sekiranya untuk menguatkan pihak atau gabungan parti lain.

“Langkah mayat ahli UMNO dulu kalau mahu UMNO sertai mereka. Saya tidak akan mengguris hati orang UMNO,” katanya sebelum parti itu ditimpa masalah demi masalah selepas pembentukan kerajaan baharu.

Benar kata Zahid bahawa setiap penyakit ada penawar, setiap masalah pasti ada penyelesaian dan setiap soalan ada jawapan, namun penawar, penyelesaian dan jawapan itu tidak semestinya datang dalam bentuk yang beliau dan UMNO harapkan.

Benar juga UMNO mempunyai ahli yang ramai atau lebih tiga juta seperti dilaporkan, namun parti itu tidak boleh mengelak jika kedudukannya terjejas dari aspek undang-undang seperti pernah dialami ketika ia diharamkan genap 30 tahun lalu.

Mengambil kira semua masalah dihadapi UMNO ketika ini, tidak salah meragui kata-kata Zahid dengan persoalan, bagaimana nasib dan masa depan parti itu nanti?

Adakah ia mampu terus bertahan atau terpaksa menerima hakikat dibubar, meninggalkan perkataan ‘selamanya’ yang diletakkan dalam slogan parti, sekadar cebisan kenangan. – BERITA HARIAN

2 thoughts on “Air Mata Najib Dan Tekad Zahid

  • October 2, 2018 at 2:40 pm
    Permalink

    lakon lah? baru nk sedih nk sebak nk tangis?? dulu ok lak? haprak???? auta kari ..!!!

    Reply
  • October 2, 2018 at 2:43 pm
    Permalink

    tk usah nk mati2an lah pertahan nama korup ni…da lewat lambat da junam rudum..tamai ahli korup yg setia tapi balasannya…rasuah??? apa ceta? tinggalkan jer korup ni cari parti lain…

    Reply

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.