Tanam Semangat Pahlawan Pada Generasi Muda – PM

PUTRAJAYA – Generasi muda seharusnya menanam semangat terus berjuang dan memastikan keamanan negara terjamin untuk masa akan datang.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, ia platform bagi memastikan kejayaan negara dalam beberapa aspek dan terus mencatat peningkatan di mata dunia.

“Tanam semangat terus berjuang supaya generasi muda iaitu generasi TN50 dapat menjiwai semangat dan roh kepahlawanan yang dapat memperlihatkan generasi kepahlawanan sebelum ini.

“Mudah-mudahan ia dapat meletakkan Malaysia ke tahap lebih tinggi kerana kita bercita-cita agar Malaysia tersenarai antara 20 negara termaju di dunia, tetapi ingatlah asasnya jaga keselamatan negara,” katanya semasa berucap pada Istiadat Sambutan Hari Pahlawan 2017 di Dataran Pahlawan Negara di sini hari ini.

Tarikh 31 Julai ditetapkan sebagai Hari Pahlawan pada setiap tahun bagi mengenang jasa perwira tanah air yang terkorban untuk mempertahankan kedaulatan negara.

Sejak 1968, acara ini dianjurkan secara bergilir antara ATM dan PDRM.

Setiap tahun Hari Pahlawan diadakan untuk mengenang jasa dan pengorbanan anggota-anggota keselamatan yang terkorban dan menderita semasa mempertahankan negara.

Dalam pada itu jelas Datuk Seri Najib, adalah wajib bagi rakyat negara ini untuk mengiktiraf dan mengenang jasa para pahlawan negara.

“Tanpa mereka, tidak mungkin ekonomi negara berkembang selain indeks keamanan negara meningkat.

“PDRM dan ATM merupakan aset negara walaupun ramai terkorban dalam memastikan keamanannya,” ujarnya.

Kata Datuk Seri Najib lagi, kerajaan juga akan memastikan kebajikan warga keselamatan negara sama ada yang masih berkhidmat atau sudah veteran terjaga.

Kerajaan tidak pernah melupakan mereka malah menyediakan pelbagai inisiatif dalam menjamin kebajikan veteran ATM terus terbela selain menghargai pengorbanan dan jasa mereka selama ini.

Daatuk Seri Najib sebelum ini mengumumkan lima inisiatif baharu untuk golongan veteran ATM bersempena dengan sambutan Hari Pahlawan hari ini.

Antaranya Bantuan Bakti Negara (BBN) dengan pemberian RM1,200 setahun, Skim Anuiti Veteran (SAVE) untuk pencen bulanan, menambah baik Skim Pencen Hilang Upaya dari RM65 kepada dari RM500 sehingga RM2,000, menambah baik Insentif Veteran Kelainan Upaya kepada RM1,000, menambah kouta tambahan khas haji dari 100 kepada 400 jemaah serta peruntukan RM5 juta bagi mengisi kutipan tabung Hari Pahlawan 2017. – Awani

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.