‘Pulangkan Balik Wang Kami’

PASANGAN pelakon, Aeril Zafrel dan Wawa Zainal membuat laporan polis terhadap seorang ahli perniagaan bergelar Datuk yang didakwa menipu mereka sebanyak RM100,000 sejak Mac tahun lalu.

Aeril berkata, wang itu diserahkan secara tunai kepada lelaki itu pada Mac tahun lalu bagi tujuan menghasilkan produk minyak wangi.

“Saya percayakannya kerana dia pernah menghasilkan minyak wangi untuk beberapa selebriti lain. Dia memberitahu jika ingin menghasilkan minyak wangi, saya perlu membayar wang pendahuluan.

“Selepas menyerahkan wang, dia berjanji produk akan dikeluarkan dalam tempoh tiga bulan. Malangnya sehingga sekarang dia terus senyap,” katanya kepada Harian Metro.

Aeril yang juga pelakon drama Patahnya Sebelah Sayap berkata, selepas produk itu gagal dikeluarkan dalam tempoh dijanjikan dia menuntut supaya wang itu dikembalikan.

“Selepas beberapa bulan mendesak, dia bersetuju memulangkan semula wang saya dengan memberikan cek pada awal tahun ini. Malangnya, apabila saya cuba menukarnya di bank saya dapati ia cek tendang.

“Saya difahamkan daripada beberapa bekas pekerjanya, wang saya itu digunakan untuk perkara lain,” katanya.

Menurut Aeril, dia juga sudah berusaha menghubungi dan menghantar mesej kepada Datuk berkenaan tetapi gagal.

“Saya ada menghubungi isteri dan anaknya, tetapi saya difahamkan mereka juga tidak dapat menghubunginya. Dari awal urusan perniagaan ini dilakukan, saya masih menyimpan segala bukti perbualan kami.

“Jadi selepas 19 bulan, saya tidak boleh berdiam diri lagi. Saya membuat laporan ini bagi menuntut hak saya semula. Saya berharap dia atau wakil keluarganya datang berjumpa saya bagi menyelesaikan perkara ini. Saya juga tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang sekiranya tidak ada sebarang maklum balas,” katanya yang membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Petaling Jaya, hari ini.-Hmetro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.