Lebih 10 Pelakon Teater, Hadirin Alami Histeria

KUCHING — Lebih 10 pelakon teater dan sebahagian penonton diserang histeria dalam Festival Pratikum Seni 2017.

Jeritan dikatakan bermula di belakang pentas sebelum beberapa peserta yang membuat persembahan rebah lalu menjerit-jerit, lapor Kosmo.

“Keadaan semakin tidak terkawal kerana ada peserta yang meronta-ronta, mereka juga berlari keluar dewan. Beberapa penonton juga ada yang diserang histeria,” kata penonton dikenali sebagai Ain.

Beliau berkata histeria itu “berjangkit” apabila menyerang seorang demi seorang, sebelum beberapa pengamal perubatan Islam dipanggil melaungkan azan.

Kejadian di Bangunan Dewan Undangan Negeri Lama di sini, berlangsung selama dua jam sejak 8.30 malam Sabtu.

Akhbar itu difahamkan kejadian berlaku selepas persembahan bertema perubatan suku kaum Melanau berjudul Mencari Puteri Yang Hilang.

Persembahan kumpulan Seladai mewakili daerah Kuching, Mukah dan Bintulu itu dikatakan “memuja sesuatu atau membangkitkan semangat halus”.

Namun, ketua pegawai eksekutif Majlis Seni Sarawak Esther Melebeh menafikan wujud elemen pemujaan dalam persembahan tersebut.

Festival itu melibatkan penyertaan empat pasukan mewakili gabungan daerah di negeri ini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.