‘Hanya Allah Yang Tahu’

KUALA LUMPUR: “Saya diberi ujian kesakitan yang hanya Allah tahu.”

Itu kata-kata personaliti popular, Datuk Mahadzir Lokman yang merungkai pengalaman dilalui selepas dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), di sini akibat jangkitan paru-paru, Ahad lalu.

“Syukur Alhamdulillah, dengan izin Allah dan berkat doa semua pihak, saya diberi kesihatan yang sempurna kembali.

“Saya diberi ujian kesakitan yang hanya Allah tahu,” katanya melalui rakaman video yang dikongsi adiknya, Danial Lokman kepada BH Online.

Melalui rakaman itu, Mahadzir yang duduk di kerusi bersebelahan katil, tampak mula bertenaga dan lancar mengucapkan kata-kata terima kasih kepada semua pihak yang mendoakannya.

Mahadzir yang sudah dipindahkan ke wad biasa, turut meluahkan rasa terkilan mendengar berita kononnya beliau sudah meninggal dunia, menjadi viral.

Sementara itu, Danial memberitahu, abangnya dijangka dibenarkan pulang, tidak lama lagi.

“Alhamdulillah, abang semakin sihat. Namun, beliau perlu menjalani beberapa rawatan untuk memastikan dirinya benar-benar sembuh.

“Abang juga sudah boleh makan seperti biasa,” katanya.

Mahadzir memulakan kerjaya di TV3 pada 1984 sebagai penyampai berita bahasa Melayu dan Inggeris pertama stesen televisyen itu.

Beliau pernah diberi tanggungjawab menjadi perantara pertama rancangan Sekapur Sirih, Malaysia Hari Ini (MHI) dan Melodi terbitan TV3.

Kebolehan Mahadzir bertutur dalam pelbagai bahasa termasuk Perancis, Sepanyol, Itali dan Portugis menyaksikan dirinya sering diundang menjadi pengacara dalam pelbagai acara bertaraf antarabangsa.-Bharian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.