Aku Sendiri Selepas Tersingkir Dari AF Megastar

SHAH ALAM: Penyanyi, Sufie Rashid, yang tersingkir pada konsert minggu kelima AF Megastar, semalam, bakal muncul dengan single terbaharu pertengahan bulan ini.

Katanya, single berjudul Aku Sendiri ciptaan bakat baharu, Haqiem Rusli, itu menjadi kesinambungan kepada lagu popularnya ketika ini, Aku Sanggup.

“Saya lebih bersemangat untuk meneruskan perjuangan kerjaya nyanyian selepas penyertaan dalam pertandingan ini dan kebetulan, saya akan muncul bersama single baharu tidak lama lagi.

“Single ini sangat istimewa kerana ia dicipta mengikut cita rasa saya, selain menjadi sambungan kepada lagu Aku Sanggup,” katanya kepada BH Online.

Sufie berkata, lagu berkenaan juga mewakili jiwa sebenarnya, selain menjadi arah tuju muzik pilihannya dalam bidang nyanyian.

Mengenai penyingkiran dirinya daripada program nyanyian itu, bakat dari Singapura ini mengakui tidak menyesal menyertai AF Megastar meskipun kerjaya muziknya sedang berkembang dengan baik.

“Saya tidak nampak kesan negatif pertandingan ini, sebaliknya ia banyak memberikan pengalaman berharga, lebih-lebih lagi bersaing dengan penyanyi berpengalaman.

“Saya yakin akan menjadi penyanyi lebih baik selepas ini dan saya juga bersemangat untuk meneruskan kerjaya dalam dunia muzik,” katanya.

Beliau berkata, pertandingan itu berbeza dengan AF kerana ia menyerlahkan persaingan hebat antara peserta dan diadili oleh juri profesional.

“Saya puas kerana mampu bertahan hingga ke minggu kelima. Saya bersaing dengan ramai bakat hebat dan berpengalaman luas, sedangkan saya masih dikira baharu dalam bidang ini,” katanya.

Mengulas mengenai dirinya yang dilihat juri seakan-akan masih kabur dengan arah tuju muzik dibawa, Sufie berkata, beliau sebenarnya mahu tampil sebagai penyanyi serba boleh dan universal.

Menghormati teguran diberikan, beliau bagaimanapun berkata, dirinya masih bereksperimen dengan muzik yang dibawa.

Sufie, yang muncul sebagai pemenang Star of the Week selama dua minggu berturut-turut hasil undian peminat, tersingkir daripada pertandingan apabila mendapat markah terendah berbanding lapan bintang yang masih bersaing, iaitu 18.8 peratus.

Pada saingan malam tadi, penyanyi itu mendendangkan lagu Izinku Pergi nyanyian asal Kaer.

Pada konsert bertemakan Mahakarya itu, Idayu yang mendendangkan lagu Lelaki Teragung berada pada kedudukan pertama. Beliau mendapat saingan sengit daripada Marsha yang mempersembahkan lagu Terlalu Istimewa dengan hanya perbezaan 0.2 markah.

Kedudukan peserta pada konsert minggu kelima:

Idayu – 54.7 peratus

Marsha – 54.5 peratus

Syamel – 47.5 peratus

Bob – 46.5 peratus

Indah – 44.5 peratus

Amir J – 43.4 peratus

Amir – 42.1 peratus

Shahir – 36.1 peratus

Sufie – 18.8 peratus – Hmetro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.