Rotavirus Terus Merebak Di Kedah

ALOR SETAR – Sebanyak enam kes baharu jangkitan rotavirus didakwa berpunca dari taman tema air Bukit Merah Laketown Resort (BMLR) dilaporkan di negeri ini semalam menjadikan jumlah ke­se­luruhan sebanyak 17 kes sejak 28 September lalu, kata Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr. Norhizan Ismail.

 

 

Beliau berkata, enam kes baharu itu, sebanyak dua kes dirawat di Hospital Kulim, satu kes di Hospital Selama, Perak dan tiga lagi di hospital swasta di Sungai Petani.

 

 

“Lima pesakit di Hospital Kulim dan hospital swasta ditempatkan di wad manakala seorang pesakit di Hospital Selama hanya mendapatkan rawatan pesakit luar,” katanya dalam satu kenyataan  di sini.

 

 

Kes di Hospital Selama membabitkan pesakit yang tinggal di Bandar Baharu dekat Kulim.

 

 

Kata beliau, enam kes baharu itu melibatkan pesakit berusia antara setahun hingga sembilan tahun sembilan bulan yang mana kesemuanya berkunjung ke BMLR pada 24 September lalu.

 

 

“Keputusan ujian makmal menunjukkan sebanyak empat kes positif rotavirus, satu kes masih menunggu keputusan dan satu lagi tidak dibuat ujian kerana dirawat sebagai pesakit luar,” ujarnya, petik Bernama.

 

 

Menurut Norhizan, sehingga semalam, seramai 13 pesakit masih dirawat di hospital dan keadaan mereka stabil manakala tiga lagi telah dibenarkan pulang ke rumah.

 

 

Tambahnya, secara kese­luruhan, sebanyak 13 kes positif rotavirus, tiga kes sedang menunggu keputusan manakala satu kes tidak dibuat ujian.

 

 

Semalam me­laporkan, sebanyak 30 kes jangkitan rotavirus didakwa berlaku di taman tema air BMLR dengan jumlah tertinggi di Perak iaitu seramai 16 pesakit.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.