Bekas Mufti Perlis Nasihat Siti Kasim Jangan Ekstrem

KUALA LUMPUR ― Datuk Dr Juanda Jaya menghargai komitmen Siti Kasim untuk mendalami Islam, namun menyeru peguam itu agar lebih sederhana melontarkan pandangan.

 

Bekas mufti Perlis berkata walaupun beliau kini sudah bergelar wakil rakyat, di Sarawak, namun usaha Siti untuk memahami Islam perlu diteruskan.

 

“Saya menghargai pandangan Siti dan berharap beliau terus mengkaji tentang agama Islam. Itu tugas setiap Muslim.

 

“Saya hanya pendakwah dan kekal sebagai pendakwah selamanya, insya Allah. Tiada apa yang perlu dibimbangkan,” katanya seperti dilaporkan sebuah portal isu Sarawak semalam.

 

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Jemoreng mengulas kekecewaan Siti yang mendakwa dirinya berubah selepas menceburi bidang politik, sejak Mei lalu.

 

Siti, 53, berkata Juanda pernah memberinya gambaran positif tentang Islam dan berjaya membuatnya lebih berminat mendalami al-Quran.

 

“Saya jumpa Juanda di sebuah forum selepas saya pulang ke Malaysia. Saya dapati beliau berjaya mengungkapkan keindahan Islam dengan cukup baik sekali,” katanya.

 

– Lain-Lain Berita Berkaitan Siti Kasim –

Video: Peguam Tunjuk Isyarat Lucah Di Forum Pindaan Akta 355

Aktivis Golongan Pondan Ditahan Kerana Maki JAWI

‘Saya Tidak Kesal, Mereka Layak Dapat Isyarat Lucah’ – Siti Kasim

Dia Tu Tuhan Ka, Soal Siti Kassim

Siti Kasim Salahkan Agamawan Punca Safiey Ilias Kembali Jadi Pondan

 

Bercakap kepada ProjekMMO, Juanda berkata apa jua pandangan aktivis hak Orang Asli itu mengenai Islam, ia harus sampai secara sederhana dan menghormati pandangan lain.

 

“Saya pesan jangan ekstrem dalam membawa apa-apa pandangan, sama ada pandangan itu bersifat bersetuju atau tidak bersetuju dengan mana-mana pihak.

 

“Kalau kita mengambil sikap ekstrem, maka pihak yang kita hadapi juga akan menghadapi kita dengan sikap yang ekstrem.

 

“Kita hendak hidupkan budaya berhujah dan memberikan pandangan, maknanya pasti ada yang tidak bersetuju. Menghormati satu sama lain itu asas yang paling utama,” katanya.

 

Juanda, 44, berkata walaupun dirinya sudah menceburi politik, Siti masih boleh merujuk alim ulama lain agar mendapat pandangan yang pelbagai.

 

Tambahnya, menjadi wakil rakyat bukan penghalang usaha dakwah beliau kerana Bumi Kenyalang menunjukkan lanskap berbeza daripada Semenanjung.

 

“Tengok politik dan pandangan ahli politik di Sarawak. Konteks di Semenanjung jauh berbeza dengan konteks kami di sini.

 

“Di Sarawak tidak timbul soal berpuak-puak dan hubungan dingin antara agama. Kami sangat bertolak ansur antara satu sama lain dan saling menghormati amalan agama lain.

 

“Terbukti orang Islam di sini dihormati orang bukan Islam dan orang bukan Islam mendapat tempat di Sarawak. Tidak mahu ke kita Malaysia yang macam ini?” soalnya. – MalayMail

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.