MB Pahang Pertahan Mufti Isu Khutbah Aidiadha

KUANTAN – Kerajaan Pahang menyokong kenyataan serta penjelasan yang dibuat Mufti Pahang, Datuk Seri Dr Abdul Rahman Osman yang mempertahankan khutbah Aidiladha, baru-baru ini.

 

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob berkata, khutbah merupakan satu amanat yang dibaca untuk ingatan umat Islam mengikut perintah ALLAH SWT.

 

Menurutnya, antara intipati khutbah tersebut ialah pentingnya umat Islam hidup bersatu padu serta harmoni antara satu sama lain.

 

“Khutbah merupakan salah satu rukun dalam solat Jumaat dan kedua-dua solat  Aidilfitri dan Aidiladha.

 

“Khutbah Aidiladha baru-baru ini tidak lari dari landasan yang disebutkan dan kerajaan negeri mengucapkan tahniah kepada mufti kerana telah menyusun khutbah yang begitu padat dan penuh bersemangat,” katanya menerusi kenyataan media, semalam.‎

 

Sebelum ini, pemimpin DAP negeri dan Pusat menyuarakan tidak puas hati dan membantah kandungan khutbah itu yang didakwa memburuk-burukkan parti itu.

 

Pengerusi DAP Pahang, Tengku Zulpuri Shah Raja Puji dilaporkan berkata, pihaknya akan menyaman Jabatan Agama Islam Pahang (Jaip)  jika enggan memohon maaf dalam tempoh lima hari.

 

Abdul Rahman baru-baru ini bertegas tidak akan membuat permohonan maaf  mahupun menarik balik khutbah Aidiladha yang didakwa memfitnah DAP.

 

Sehubungan itu, Adnan berkata, kerajaan negeri akan menyediakan pasukan peguam mempertahankan mufti jika hal tersebut dibawa ke mahkamah oleh mana-mana pihak. – Sinar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.