Mangsa Disoal Agama Yang Dianuti Sebelum Ditembak

LOS ANGELES – Penembak yang membunuh pelajar di sebuah kolej komuniti di Roseburg, Oregon, Amerika Syarikat pada Khamis dikatakan meminta mangsa pertama berdiri dan mengakui agama yang dianuti sebelum melepaskan tembakan ke arah mangsa dan pelajar lain.

 

Kejadian didedahkan oleh salah seorang saksi, Kortney Moor, lapor portal antarabangsa Fox8 News.

 

Penembak yang dikenal pasti sebagai Chris Harper Mercer, 26 disahkan ditembak mati selepas berbalas tembakan dengan polis.

 

Sekurang-kurangnya 13 pelajar dilaporkan terbunuh manakala 20 yang lain cedera dalam insiden terbabit.

 

Menurut pihak berkuasa, insiden tembakan tersebut bermula di sebuah bangunan di kolej berkenaan sebelum penembak bergerak ke sebuah lagi bangunan yang lain.

 

Pengesahan tersebut dibuat berdasarkan penemuan pelajar terbunuh dan tercedera di dua kelas berbeza di dua bangunan berkenaan.

 

Dalam perkembangan lain, Presiden AS, Barack Obama merayu kawalan pemilikan  senjata di negara itu dipertingkatkan sambil membidas kongres yang dikatakan gagal mengambil langkah sewajarnya sehingga negara itu sering berdepan dengan pembunuhan beramai-ramai sejak kebelakangan ini.

 

“Sekadar berdoa sahaja tidak mencukupi, ini adalah satu keputusan politik yang perlu kita ambil,” katanya.

 

Menurut laporan CNN lagi, seorang sumber yang tidak mahu dinamakan berkata, suspek menyatakan hasratnya untuk melakukan jenayah tersebut menerusi satu perbualan dalam talian.

 

Polis kini sedang menyiasat dakwaan terbabit.

 

Terdapat sejumlah laporan mengatakan bahawa suspek bukan pelajar kolej berkenaan, bagaimanapun dakwaan tersebut tidak dapat dipastikan setakat ini. – Sinar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.