Linda Rafar, Suami Rujuk Semula

KUALA LUMPUR – Penyanyi dan pelakon Linda Rafar, 37, mengesahkan dia dan suaminya yang juga pelakon, Syed Aiman, 40, sudah berbaik semula.

 

Linda ketika dihubungi berkata, Syed Aiman hadir ke Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam, minggu lalu untuk rujuk sebelum mahkamah memanggil mereka bagi sesi kaunseling.

 

“Selepas melihat dia (Syed Aiman) berusaha menyelamatkan rumah tangga kami, saya menarik balik pengesahan lafaz cerai itu, lagipun lafaz Syed Aiman tidak sah kerana saya sedang hamil,” katanya yang kini hamil tiga bulan.

 

Linda sebelum ini mendakwa suaminya itu melafazkan cerai di kediaman mereka di Shah Alam pada pagi 8 September lalu.

 

Bekas anggota Elite itu kemudian menghantar borang permohonan pengesahan lafaz cerai di pejabat pendaftar Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam, tiga hari selepas itu.

 

Linda berkata, mereka kini kembali tinggal sebumbung di kediaman mereka di Shah Alam.

 

“Saya akui kedua-dua pihak salah dalam perkara ini. Apabila dia datang untuk meminta maaf dan mengakui silapnya, saya yakin dia masih sayangkan saya, anak-anak dan rumah tangga kami.

 

“Jadi saya tak boleh terus meletakkan ego dalam diri. Demi anak-anak dan anak yang bakal lahir ini, saya terima ia dengan positif. Sebagai manusia tak ada yang sempurna, jadi saya perlu beri dia peluang kedua,” katanya. – HMetro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.