Bajet 2016 Untuk Tingkatkan Pertumbuhan Ekonomi Domestik – Husni

KUALA LUMPUR – Peruntukan Bajet 2016 yang akan diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 23 Oktober ini adalah lebih besar berbanding tahun lalu dengan matlamat meningkatkan pertumbuhan ekonomi domestik.

 

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah berkata, Bajet 2016 juga dirangka bagi merancakkan Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) yang memulakan programnya pada tahun depan.

 

Dalam merangka peruntukan bajet, katanya, kerajaan turut mengambil kira perkembangan ekonomi semasa.

 

“Kami sudah draf tetapi pada 7 Oktober ini, satu lagi mesyuarat mengenai Bajet 2016 akan dibuat bagi melihat semua peruntukan yang telah diketengahkan oleh kementerian-kementerian. Kita tidak mahu berlaku pembaziran.

 

“Di dalam Bajet 2016, kami akan meningkatkan perbelanjaan pembangunan dan mengurangkan perbelanjaan pengoperasian bagi menyeimbangkan bajet defisit pada tahun depan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis pelancaran Skim Perumahan Belia di sini semalam.

 

Turut hadir, Pengerusi Bank Simpanan Nasional, Tan Sri Abu Bakar Abdullah dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Adinan Maning.

 

Ahmad Husni turut menyifatkan Bajet 2016 sebagai sangat mencabar kerana terpaksa melakukan keseimbangan di antara ketidaktentuan ekonomi global dan memastikan visi kemakmuran rakyat tercapai.

 

Katanya, bajet pada kali ini juga akan memberi lebih tumpuan kepada golongan isi rumah B40 iaitu berpendapatan bulanan purata RM2,537 dengan mewujudkan pelbagai insentif bagi meningkatkan pendapatan mereka. – UTUSAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.