Tindakan Azmin ‘Bolot’ Portfolio Penting Membimbangkan -ISMA

Kuala Lumpur – Presiden Ikatan Muslim Malaysia (ISMA), Abdullah Zaik Abdul Rahman mendakwa tindakan Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali memegang portfolio penting dalam pentadbiran kerajaan negeri adalah bertujuan bagi membolot sumber kekayaan negeri.

Katanya, tindakan itu sangat membimbangkan dan memberi persepsi buruk kepada Azmin sendiri.

“Ini kerana, portfolio penting itu berada di tangan dia (Azmin) sendiri. Tindakan Azmin itu menunjukkan dia tidak percaya kepada orang lain kerana dia yang menguasai semua portfolio penting itu. Itu merupakan tindakan sesuka hati.

“Bila dia memegang jawatan yang penting itu, kita sebagai rakyat bimbang adakah sumber kekayaan yang dipegangnya seperti tanah, sumber alam dan sebagainya itu akan dikembalikan kepada rakyat?,” soalnya ketika dihubungi oleh FMT.

Semalam, Azmin mengumumkan bahawa beliau sendiri akan terlibat secara langsung dengan pentadbiran kerajaan negeri dengan memegang portfolio sebagai Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kewangan, Pembangunan Tanah, Pengurusan Sumber Alam, Majlis Tindakan Ekonomi Selangor dan Penerangan.

Azmin berkata, ia bersesuaian dengan jawatan yang dipegang olehnya iaitu sebagai Menteri Besar.

Abdullah Zaik menambah, pengambalihan jawatan penting oleh Azmin menunjukkannya tidak konsisten dengan komitmen ketelusan, kelancaran (efisyensi) dan manfaat rakyat yang diumumkan olehnya sendiri.

Dalam pada itu, Ketua Wira Perkasa, Irwan Fahmi Ideris berkata, pihaknya akan mengambil sikap tunggu dan lihat berkenaan isu tersebut.

“Kita banyak melihat dulu, apakah cara dan tindakan dia yang akan lakukan sebagai Menteri Besar.

“Jika kesannya ada kepada rakyat Selangor, kita akan bertindak,” ujarnya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.