Suami Terkilan Tidak Bersama Isteri Sewaktu Menghembus Nafas Terakhir

Oleh: Hafizah Kamaruddin

Makkah – Suami Allahyarhamah Che Yah Jaafar, 62, Osman Darus, 67, terkilan kerana tidak dapat berada di sisi isteri sewaktu menghembus nafas terakhir di Hospital An Noor, di sini pada 24 Sept lepas.

Osman berkata sebaik tiba di hospital, beliau dimaklumkan isterinya telah meninggal dunia pada 9.30 pagi waktu tempatan (2.30 petang waktu Malaysia) akibat jangkitan kuman dalam paru-paru.

Beliau berkata isterinya yang tiba di Tanah Suci dengan keadaan yang sihat dan cergas, tiba-tiba demam dan selesema serta dimasukkan ke wad Unit Rawatan dan Kecemasan (ICU) Hospital Arab Saudi pada 21 Sept.

Sejak itu, saya hanya dapat melihat isteri melalui tingkap kaca kerana pihak hospital tidak benarkan masuk ke bilik tersebut, katanya kepada media Malaysia selepas bertemu Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom di maktab penginapan jemaah Malaysia di Hotel Land Premium di sini, Rabu.

Pada majlis itu, Jamil Khir mengumumkan Tabung Haji (TH) akan melaksanakan badal haji atau upah haji untuk 25 warga Malaysia termasuk enam bakal jemaah haji yang meninggal dunia sebelum sempat mengerjakan ibadah haji, termasuk Che Yah.

Yang lain ialah Nastain Ahmad, 48, dari Sabah yang maut dalam kemalangan sebelum berlepas ke tanah suci, Maznah Mat Dali (51 tahun) penghidap kanser hati dari Sekilau, Omar Mahmud (58) dari Johor Bahru, Ab Khalim Md Yusof (59) dari Shah Alam dan Rossnah Abu Hassan (52) dari Kedah yang meninggal di tanah Suci.

Osman yang bersyukur atas usaha TH melaksanakan badal haji untuk isterinya, tidak menyangka isterinya akan meninggal dunia ketika berada di tanah suci.

“Tak sangka langsung yang isteri saya akan pergi (buat selama-lamanya)… semua kerja dia buat, termasuk menguruskan kedai,” kata bapa kepada seorang anak itu.

Sementara itu, suami Allahyarhamah Maznah, Efendi Osman, 55, berkata isterinya itu amat berhajat untuk mengerjakan haji.

“Bila datang ke sini dia sihat, cuma dua minggu lepas hatinya dijangkiti kuman dan doktor kata ada jangkitan pada paru-parunya,” katanya.

“Setelah dimasukkan ke hospital sejak 25 Sept lalu, semalam dia menghembuskan nafas terakhir. Jenazah disembahyangkan di Masjidil Haram dan dikebumikan selepas solat Asar,” kata Efendi yang berasal dari Sekilau, Pahang.

Beliau berkata anak-anaknya di tanah air telah dimaklumkan dan mereka reda dengan pemergian ibu mereka.

“Insya-Allah, saya ada kekuatan menghadapinya,” katanya kepada petugas media.

Sementara itu, Said Isa, 72, suami Allahyarhamah Rossnah yang meninggal dunia kerana sakit jantung pada 23 Sept lepas berkata beliau reda dengan kematian isterinya itu.

Menurut beliau, isterinya tidak mempunyai sebarang penyakit dan bersyukur atas usaha TH melaksanakan badal haji untuk isterinya. – Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.