PAS Pulau Pinang Mahu Kerajaan Negeri Tarik Balik Pemecatan Iszuree

Georgetown – PAS Pulau Pinang pada Selasa menggesa kerajaan negeri supaya menarik balik pemecatan Anggota Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) Iszuree Ibrahim daripada semua jawatankuasa tetap pihak berkuasa tempatan (PBT).

Setiausaha PAS Negeri Pulau Pinang Fadzil Kemi berkata sebagai pemimpin PAS yang komited, Iszuree lantang menyuarakan isu berkaitan nasib penduduk di negeri ini.

“Isu yang dibangkitkan Iszuree pada Muktamar PAS (bulan lepas) melibatkan rakyat dan bukan memburuk-burukkan kerajaan Pulau Pinang. Perkara ini harus ditangani dengan bijaksana, perlu adakan perbincangan,” katanya pada sidang akhbar di sini.

Iszuree, yang juga Bendahari Badan Perhubungan PAS Pulau Pinang, dipecat daripada semua Jawatankuasa Tetap MPPP berikutan ucapan dasarnya pada Muktamar Tahunan PAS Ke-60 di Batu Pahat, Johor Baharu, yang dikatakan menegur kerajaan Pulau Pinang berhubung isu dasar perumahan.

Iszuree, yang turut hadir pada sidang akhbar itu, berkata beliau hanya membangkitkan isu rakyat sama seperti yang dilakukan pemimpin DAP atau PKR ketika mereka menghadiri perhimpunan agung parti masing-masing.

Sementara itu, Pengerusi Lujnah Tanah PAS Pusat Mazlan Aliman berkata pihaknya mahu mengadakan perbincangan dengan Ketua Menteri Pulau Pinang lim Guang Eng berhubung isu tanah dan penduduk negeri ini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.