PAS Pulau Pinang Bertemu Guan Eng

Kuala Lumpur – PAS Pulau Pinang diketuai Timbalan Pesuruhjaya Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa akan bertemu Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng bagi membincangkan salah faham yang timbul antara parti itu dengan kerajan negeri.

“Kita akan bertemu esok (hari ini) di pejabat ketua menteri dan kita harap dapat menyelesaikan segala salah faham yang timbul.

“Saya akan pastikan pertemuan esok pertemuan yang boleh meredakan keadaan, bukan pertemuan yang boleh memburukkan lagi keadaan,” kata Mujahid.

Pertemuan yang akan berlangsung pada jam 11 pagi itu dijangka membincangkan segala permasalahan yang timbul ekoran ucapan ahli Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP), Iszuree Ibrahim di Muktamar PAS ke-60 di Batu Pahat baru-baru ini.

Ekoran ucapan yang mengkritik kerajaan negeri itu, Iszuree disekat semua portfolionya dalam MPPP di samping desakan agar beliau dipecat terus.

“Iszuree tidak dipecat kerajaan, jawatannya sebagai ahli majlis akan tamat Disember ini. Beliau hanya ditarik semua portfolionya dalam majlis,” kata Mujahid.

Pada pertemuan esok, Iszuree selaku bendahari PAS Pulau Pinang akan turut hadir dan berdepan secara langsung dengan Lim dan menjelaskan mengenai kritikannya.

Menjelang pertemuan itu, Mujahid berharap semua ahli PAS khasnya di Pulau Pinang tidak menyebarkan fitnah berkaitan perkara itu termasuk kononnya Iszuree dipecat.

Beliau juga berharap semua pihak tidak lagi mengeruhkan hubungan dalam Pakatan Rakyat (PR) dan menghentikan segala pandangan serong antara satu sama lain.

Mujahid mengakui ucapan Iszuree pada 19 September itu menimbulkan pelbagai fitnah dalam hubungan antara PAS dengan kerajaan negeri, khasnya dengan DAP.

“Antaranya, dikatakan saya yang menyediakan draf ucapan Iszuree di muktamar itu. Itu tidak tepat. Apa yang kami buat ialah memberikan garis panduan ucapan, bukan membuat teks ucapan,” kata Mujahid.

Iszuree yang berucap sebagai perwakilan semasa muktamar itu menyentuh tentang penduduk tradisional yang diusir bagi memberi laluan kepada projek pembangunan baru di negeri itu.

Beliau mendakwa, pemimpin PR kini lebih mesra dengan pemaju daripada mendengar suara rakyat.

Mujahid yang juga AJK PAS Pusat mengakui ada sesetengah perkara yang dibangkitkan Iszuree terdapat kebenarannya tetapi muktamar bukan forum menyelesaikannya kerana ia perlu dibuat melalui meja rundingan.

“Saya mengaku, ada memorandum yang ditulis mengenainya, tetapi ia bersifat tertutup, bukan diletupkan dalam muktamar.

“Dan sebahagian isu yang dibangkitkannya sudah diberikan perhatian oleh kerajaan negeri,” kata Mujahid.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.