Komputer Judi RM3.5 Juta Dilupus

Sungai Buloh – Sebanyak 4,447 set komputer perjudian bernilai kira-kira RM3.5 juta dilupuskan di Ibu Pejabat Polis Daerah Sungai Buloh.

Ketua Polis Selangor, Datuk Abdul Samah Mat berkata semua rampasan itu adalah hasil siasatan daripada Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya dari tahun 2010 hingga 2014.

Menurutnya, bagi peringkat negeri Selangor, sebanyak 3,091 serbuan dilakukan dan seramai 3311 individu yang terbabit ditahan dalam tempoh Januari hingga 15 September tahun ini.

“Dianggarkan nilai rampasan untuk tempoh sembilan bulan serbuan yang dilakukan melibatkan kira-kira RM37.3 juta dengan nilai purata untuk setiap satu komputer perjudian dianggarkan bernilai RM800 sebuah.

“Kita turut merampas wang tunai keseluruhan sebanyak RM264,000 daripada semua serbuan itu,” katanya pada sidang media di sini, tadi.

Turut hadir Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Azmi Abu Kassim dan Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Junaidi Bujang.

Beliau berkata peningkatan jumlah rampasan untuk tahun ini meningkat dari segi statistik sebanyak 170 peratus dan jumlah serbuan pada tahun lalu adalah 1152 serbuan untuk tempoh yang sama.

Abdul Samah berkata kejayaan ini adalah usaha polis yang sentiasa memantau aktiviti perjudian yang masih beroperasi sehingga kini.

Menurutnya, polis akan terus meningkatkan usaha dan operasi bagi membanteras aktiviti perjudian haram ini akan berterusan bagi mencapai matlamat menjadikan Negeri Selangor ‘ Zon Sifar’ perjudian.

“Tiada hari tanpa operasi dan ini menunjukkan kita serius dalam menangani aktiviti perjudian ini,” katanya.

Beliau berkata, polis bekerjasama dengan pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Tenaga Nasional (TNB), Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) untuk mengambil tindakan secara efektif dengan menyekat kemudahan ke atas premis-premis ini seperti bekalan elektrik, air dan internet.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.