Kes Denggi Dijangka Meningkat Mulai Hujung November

Kuala Lumpur – Kes denggi dijangka meningkat bermula hujung November ini berikutan perubahan cuaca, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S Subramaniam (gambar) hari ini.

“Cuaca hujan dan kering yang bersilih ganti sesuai untuk nyamuk Aedes membiak dan berdasarkan pengalaman pada tahun-tahun sebelum ini, kes denggi berkemungkinan meningkat,” katanya dalam sidang media di Putrajaya hari ini.

Sehubungan itu, katanya kementerian akan bekerjasama dengan kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan badan bukan kerajaan (NGO) meneruskan operasi dan aktiviti membersihkan kawasan awam, kawasan terbuka dan memusnahkan tempat pembiakan Aedes.

“Kementerian juga berharap penglibatan masyarakat dalam aktiviti ‘cari dan musnah’ tempat pembiakan Aedes dilakukan setiap minggu,” katanya.

Bagi memastikan kejadian kes dan wabak denggi terkawal, katanya kementerian juga meneruskan perkhidmatan semburan ruang termal dan semburan ruang ULV oleh Pest Control Operator (PCO).

Katanya PCO membantu dengan melakukan perkhidmatan semburan di Selangor khususnya di daerah Petaling, Hulu Langat dan Gombak serta di Kelantan.

Subramaniam berkata bagi tempoh Januari sehingga 27 September lepas, jumlah kumulatif kes kematian akibat denggi yang dilaporkan di seluruh negara adalah 146 kematian berbanding 48 kematian bagi tempoh yang sama tahun lepas.

Beliau berkata jumlah kumulatif kes denggi dilaporkan di seluruh negara bagi tempoh itu adalah 76,616 kes iaitu peningkatan sebanyak 239 peratus berbanding 22,602 kes bagi tempoh sama tahun lepas.

Katanya sejumlah 589 lokaliti wabak yang masih aktif dilaporkan di seluruh negara iaitu 340 lokaliti di Selangor, Kelantan (153 lokaliti), Johor (22 lokaliti), Sarawak (17 lokaliti), Pulau Pinang (14 lokaliti), Kuala Lumpur dan Putrajaya (13 lokaliti), Pahang (11 lokaliti), Melaka (lima lokaliti), masing-masing empat lokaliti di Terengganu dan Perak, Perlis (tiga lokaliti), Negeri Sembilan (dua lokaliti) dan satu lokaliti di Sabah.

“Daripada jumlah ini, terdapat 157 lokaliti hotspot dilaporkan di seluruh negara iaitu 98 lokaliti di Kelantan, 56 lokaliti di Selangor dan masing-masing satu lokaliti di Melaka, Pahang, dan Pulau Pinang,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.