Godam ATM Hanya Sebahagian Jenayah Siber Melibatkan Bank Malaysia

Perbankan dalam talian dan mudah alih Malaysia adalah sasaran lebih besar penjenayah, kata seorang pakar keselamatan kewangan susulan penggodaman ATM baru-baru ini mengakibatkan kerugian sebanyak RM3 juta, lapor The Star.

Beliau dipetik berkata insiden penggodaman itu meliputi hanya sebahagian kecil jenayah siber ke atas institusi kewangan di negara ini.

Tim Lau, ketua IBM yang memiliki Trusteer Asia Pasifik Timur Tengah dan Afrika, memberitahu The Star peranti pengguna untuk menjalankan perbankan dalam talian dan mudah alih seperti telefon pintar, tablet dan komputer menghadapi ancaman yang semakin meningkat daripada perisian canggih dan berniat jahat, di mana penjenayah mencuri wang dan data perbankan daripada pelanggan ketika berada dalam talian.

“Berikutan serangan ke atas ATM, bank-bank perlu lebih memahami apa yang mereka benar-benar perlu ada dari segi aset pertahanan melindungi diri dan pelanggan mereka,” kata Lau.

Beliau berkata Malaysia sebahagian daripada “pasaran baru muncul” untuk penjenayah ini, sambil menambah ia sebahagian daripada wilayah “zon peluang” untuk penjenayah siber kewangan.

Statistik industri oleh firma Lau mendedahkan Malaysia mempunyai purata 17.66 laman “phishing” bagi setiap 1,000 komputer tuan rumah, tiga kali lebih tinggi daripada purata global, iaitu lima setiap 1,000 komputer tuan rumah.

Tambahnya, walaupun bank di Malaysia mempunyai “lapisan asas” perlindungan dalam talian dan platform perbankan mudah alih, mereka perlu bertindak balas dengan sewajarnya kerana ancaman semakin canggih.

Individu yang disyaki anggota sindiket Amerika Latin dipercayai bertanggungjawab menggodam lebih 18 ATM di Johor, Selangor dan Melaka pada hujung minggu.

Pengarah Jenayah Komersil Persekutuan, Datuk Seri Mortadza Nazarene, berkata siasatan awal menunjukkan suspek membuka panel di atas ATM menggunakan kekunci yang sama, sebelum memasukkan cakera padat ke dalam pemacu CD-ROM di mesin untuk menyuntik malware dikenali sebagai ulssm.exe.

“Selepas menjangkiti mesin dengan malware, suspek mengeluarkan CD dan mengunci semula panel sebelum membuat pengeluaran.

“Suspek kemudian akan menunggu arahan daripada ahli sindiket lain yang juga akan menyediakan mereka dengan kod melalui telefon.

“Kod kemudian akan dimasukkan melalui cara biasa menggunakan papan kekunci ATM.

“Virus itu kemudian ‘reboot’ sistem ATM dan membolehkan sindiket itu untuk membuat beberapa pengeluaran wang dari mesin sasaran,” kata Mortadza.
– See more at: http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/godam-atm-hanya-sebahagian-jenayah-siber-melibatkan-bank-malaysia-kata-paka#sthash.qDxI1KSU.dpuf

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.