DAP Dan Politik Onani

Oleh: Edwin Michael

DAP dan strategi keji berpisah tiada

Politik narsis boleh digambarkan sebagai satu keadaan apabila para politikus sanggup melakukan apa sahaja untuk mempopularkan diri mereka atau mengejar status tertentu dalam dunia politik walaupun hakikatnya suara majoriti belum tentu mendukung pemahaman dan aspirasi “kepura-puraan” mereka.

Perilaku ini juga disebut secara ‘seksual’ sebagai politik onani yang cenderung untuk menyanjung dan menyenangkan diri sendiri tanpa mempedulikan sama ada orang lain tertarik ataupun tidak dan kenikmatan berpolitik onani ini hanya bersifat sementara sahaja.

Pemilihan Presiden Indonesia baru-baru ini dikategorikan sebagai satu pemilihan yang bersifat politik onani apabila calon Presiden, Joko Widodo atau Jokowi mendapat perhatian yang luar biasa daripada rakyatnya. Penganalisis politik melihatnya sebagai satu tindakbalas jangka pendek daripada rakyat dan apabila sampai satu tempoh, mereka yang memberikan perhatian luar biasa padanya akan mula mengkritiknya.

 

Percubaan DAP untuk butakan mata orang Melayu

Di Malaysia, Parti Tindakan Demokratik (DAP) dilihat mempelopori politik onani ini apabila menggambarkan bahawa parti yang majoriti ahlinya terdiri daripada etnik Cina dan sering dilabel sebagai parti yang bersifat kauvinis serta membelakangkan etnik Melayu kini sudah diterima oleh bangsa Melayu. Benarkah sedemikian?

Bermula daripada Dyana Sofea, Syefura Othman dan terkini gadis berpurdah, Melati Rahim yang masing-masing mempertaruh kelainan dalam mewujudkan ‘keghairahan’ anak-anak muda Melayu terhadap parti ini. DAP sememangnya kelihatan terdesak dengan memberikan publisiti yang meluas dengan menggunakan gadis-gadis Melayu seolah-olah kini DAP adalah parti yang bakal memperjuangkan nasib bangsa Melayu dan Bumiputera. Hakikatnya, ini hanyalah untuk survival politik DAP untuk memastikan orang-orang Melayu terus diperbodohkan dengan agenda politik mereka.

 

Kepura-puraan DAP demi survival politik

Apabila DAP secara terbuka melabelkan empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PAS dan bekas Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) Selangor dibawah pentadbiran bekas Menteri Besar (MB) Tan Sri Khalid Ibrahim sebagai pengkhianat lalu mengangkat dua ADUN PAS sebagai hero sementara Pemuda DAP Sarawak pula isytiharkan tidak akan lagi bekerjasama dengan PAS maka hanya dengan merekrut anak-anak muda Melayu sahajalah jalan terakhir buat DAP pimpinan dinasti Lim ini untuk memastikan momentum sokongan bangsa Melayu terus stabil.

Sayangnya, anak-anak muda Melayu ini terperangkap dalam sindrom ketagihan politik onani DAP ini. Apa yang pasti, mereka akan diarak bagaikan dewa-dewi, wajah mereka akan terpampang di segenap poster DAP dan dilabel dengan pelbagai kata-kata bersifat politikal motivasi. Lalu, sampai pada satu tahapnya atau dalam bahasa mudah, sebaik mencapai ejakulasi, tahap kenikmatan itu pun akan menurun. Watak-watak ini sudah tidak diperlukan lagi dan adegan yang sama akan diulang semula dengan menggunakan anak-anak muda Melayu berwajah baru pula. Malah, jangan terkejut andai suatu hari nanti DAP terdesak hingga sanggup merekrut gadis-gadis India yang berwajah persis aktres-aktres Tamil pula untuk memujuk rayu etnik India sebagai salah satu strategi membodohkan rakyat negara ini.

Namun, apabila Melati Rahim mencanang bahawa DAP bersifat humanisme pada imejnya, sindrom ketagihan DAP terhadap politik onani ini makin jelas.

 

Dicantas apabila Melayu mengkritik DAP

Dasar kemanusiaan dalam kerangka politik DAP ialah memecat seorang Melayu yang mengkritik dasar perumahan negeri yang mengutamakan kapitalis dan bukannya mengutamakan rakyat marhaen. Malah, pengertian kemanusiaan itu bagi DAP adalah apabila Kerajaan P.Pinang menjual tanah kerajaan dengan skala saiz yang besar berkeluasan 190 hektar di Batu Kawan dengan harga RM 1.02 bilion kepada Eco World Group Bhd secara terbuka. Eco World yang dipengerusikan oleh Tan Sri Abdul Rahsid Manaf dan dikatakan mempunyai kaitan rapat dengan Tun Daim Zainuddin inilah yang mencetuskan kontroversi di Selangor sehingga membawa kepada pemecatan Tan Sri Khalid Ibrahim sebagai ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR) walaupun tuduhan yang dilemparkan pada beliau hingga kini gagal dibuktikan secara sah. Kerajaan DAP yang bersifat humanisme ini hakikatnya menjual tanah untuk dibangunkan dengan projek mewah dan bukannya projek perumahan mampu milik buat rakyatnya.

 

DAP bukan parti multirasial

Jika nilai manusiawi itu diterjemahkan dalam konteks politik, maka setiap seorang politikus akan mendabik dada mengakui bahawa dialah manusia yang bermanusiawi sedangkan hakikatnya dipalit dengan lumpur kekotoran politik.

DAP dan politik onani dengan sedikit kekhayalan tentang humanisme tidak menjadikan parti itu sempurna buat bangsa Melayu khasnya dan buat rakyat Malaysia amnya. Hanya mereka yang mahukan keglamoran dan kenikmatan publisiti akan memilih jalan untuk menjadi ahli parti ini untuk diusung dipentas politik onani DAP. – FMT

Edwin Michael adalah Pensyarah Universiti Tunku Abdul Rahman

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.