Cemburu Dipercayai Punca Lelaki Bunuh Dan Bakar Teman Wanita

Bukit Mertajam – Polis percaya kes bunuh dan bakar seorang wanita di Kampung Datuk Keramat berpunca daripada cemburu.

Sumber berkata hasil soal siasat mendapati lelaki berusia 43 tahun itu bertindak demikian selepas wanita berkenaan memberitahunya bahawa dia sudah berkahwin dan mempunyai tiga anak.

“Lelaki yang tidak mempunyai pekerjaan itu mendakwa bercinta dengan wanita berusia 30 tahun itu sejak beberapa tahun lepas dan tidak pernah mengetahui wanita itu sudah berkahwin.

“Wanita itu datang ke rumah lelaki terbabit pada Isnin dan berterus terang yang dia sudah berkahwin serta enggan meneruskan hubungan dengan penganggur berkenaan kerana bimbang diketahui suami dan keluarganya,” katanya hari ini.

Semalam, polis menemui ketulan tulang wanita yang dipercayai dibunuh dan dibakar di kawasan hutan di Kampung Datuk Keramat di Bukit Mertajam.

Tulang-tulang dengan kesan terbakar dipercayai seorang wanita ditemui dalam kawasan hutan berhampiran sebuah rumah yang didiami seorang lelaki dan dikatakan sering dikunjungi wanita berkenaan.

Sumber itu berkata wanita yang dikenal pasti identitinya itu dikurung di rumah lelaki berkenaan sebelum mangsa dipukul, dibunuh dan kaki serta tangannya ditetak manakala sebahagian badannya dibakar sebelum ditanam di kawasan hutan belakang rumah itu.

“Selepas menahan lelaki berkenaan, polis membawa dia ke lokasi kejadian dan berjaya menemui badan mangsa yang ditanam di kawasan hutan itu. Beberapa bahagian tangan dan kaki ditetak manakala perut serta kaki mangsa terdapat kesan terbakar,” katanya.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah ACP Rusli Mohd Noor ketika dihubungi berkata lelaki yang ditahan petang semalam, kini direman tujuh hari bermula hari ini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.