Berjalan Bantah Akta Hasutan

Kuala Lumpur – Majlis Peguam akan mengadakan acara ‘Berjalan untuk keamanan dan kebebasan 2014’ sebagai satu cara untuk menyatakan bantahan terhadap Akta Hasutan 1948 pada 16 Oktober ini.

Semua ahli dan pelajar dalam majlis itu dijemput untuk menyertai acara tersebut yang dijangka berlangsung pada 10.30 pagi di tempat letak kereta Padang Merbok.

Acara berjalan kaki itu dijangka akan berakhir di Parlimen.

Keputusan untuk mengadakan acara berjalan secara aman itu telah dicadangkan bulan lalu pada Mesyuarat Tahunan Majlis Peguam Malaysia yang diadakan di Wisma MCA.

Presidennya, Christopher Leong berkata acara tersebut diadakan sebagai menunjukkan sokongan terhadap penghapusan Akta Hasutan.

“Akta Hasutan adalah bertentangan dengan nilai dan aspirasi untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang lebih baik,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau merujuk kepada wawasan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak untuk ‘mengukuhkan perpaduan negara dengan melindungi perpaduan negara serta memupuk keharmonian agama’ dan memansuhkan akta itu.

“Dengan ini, Majlis Peguam melalui Mesyuarat Agung Tahunannya bersetuju untuk mengadakan perhimpunan aman ini bagi membantah penahanan, pendakwaan dan penyiasatan di bawah Akta Hasutan 1948,” katanya.

Katanya, dia turut berharap agar semua peserta yang menyertai perhimpunan itu dapat menyuarakan aspirasi mereka serta mennyatakan sokongan bagi menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang aman, harmoni, bersatu, memahami dan bebas daripada ketakutan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.