Anuar Zain Kerap Berulang-Alik Ke IJN

Barangkali ramai yang tidak tahu Institut Jantung Negara (IJN) yang terletak di Jalan Tun Razak, di sini begitu dekat dengan penyanyi popular, Anuar Zain.

Sejak sepuluh tahun hingga ke hari ini, Anuar setia berkunjung ke sana sebagai kasih seorang anak buat bapanya, Zain Abdullah biarpun jalan itu sentiasa sesak sepanjang masa.

Mengimbau kenangan lama, Zain pernah menjalani pembedahan jantung di IJN dan pengalaman menjaga bapanya ketika itu menghadirkan satu hikmah yang cukup bermakna.

Semalam, atas dasar kemanusian pemilik rangkaian lagu popular seperti Bila Resah, Keabadian Cinta, Sedetik Lebih dan Semusim Berlalu tampil bekerjasama dengan institut itu untuk satu kutipan dana.

Anuar akan mengadakan majlis makan malam amal di The Majestic Hotel pada 5 Disember 2014.

Majlis itu bertujuan untuk mengutip dana bagi mewujudkan sebuah kumpulan sokongan Pusat Jantung Kanak-Kanak Kongenital IJN.

“IJN memang dekat dengan saya kerana bapa pernah melakukan pembedahan di sini 10 tahun lalu. Hanya Tuhan sahaja yang tahu perasaan ketika itu sebelum bapa dibedah.

“Semua kemungkinan boleh terjadi selepas pembedahan dan saya hanya mampu berserah dan redha.

“Alhamdulillah, bapa saya selamat melakukan pembedahan dan dia masih mendapatkan rawatan susulan di IJN hingga ke hari ini.

“Dan saya masih datang datang sini untuk menghantar bapa apabila dia mendapatkan rawatan susulan,” katanya pada sidang akhbar ‘Sempurnakan Aku With Anuar Zain’ di IJN semalam.

Sementara itu, Pakar Klinikal Pusat Jantung Kanak-Kanak Dan Kongenital, Dr. Marshisham Che Mood memberitahu, Anuar dipilih kerana merupakan ikon seorang artis yang memiliki sifat kasih sayang tinggi dan diminati pelbagai lapisan masyarakat termasuk kanak-kanak.

Sementara itu, Anuar bakal mendendangkan lebih 12 buah lagu sepanjang sejam persembahan berlangsung pada majlis itu.

Peminat-peminat setia penyanyi berusia 44 tahun itu boleh membeli tiket melalui TicketCharge di talian 03 92228811 atau melayari www.ticketcharge.com.my.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.