KUALA MEDANG: Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Wan Rosdy berkata, Projek ‘Off River Storage-ORS’ (Kolam Tangkungan Hiliran) dijangka dapat memberi manfaat kepada lebih 10,000 penduduk masyarakat kampung sekitar.
Menurut Wan Rosdy, projek tersebut telah mencapai 60 peratus siap dan menelan belanja RM11 juta.
Jelas beliau, lima kampung itu ialah Kuala Medang, Kampung Kuala Serau, FELDA Sungai Koyan, POS Pantos serta Agropolitan Tanjung Gahai dan Tanjung Gahai.
“ORS nampak berjalan dengan baik, dulu ketinggalan sebanyak 170 hari (41 peratus), sekarang ini saya dimaklumkan oleh Pengarah JPS tadi telah mencapai lebih 60 peratus dan Insyaa Allah sekiranya ianya berjalan dengan baik, akan siap pada bulan 12 ini,
“Projek yang menelan belanja RM11 juta ini sepatutnya telah disiapkan pada 30 November 2022 selepas ianya dimulakan pada 1 Disember 2021 namun mengalami kelewatan ekoran beberapa masalah akibat kelemahan perancangan dan pengurusan projek serta pertukaran sub-kontraktor kerja sivil dan mekanikal / elektrikal,” katanya selepas melakukan Lawatan Kerja ke Tapak Projek Kolam Takungan Hiliran (ORS) Kuala Medang di Tapak Projek ORS Kuala Medang di Kuala Lipis.
Turut hadir Pengarah Jabatan Pengairan Dan Saliran Negeri Pahang, YBrs. Puan Ir. Roslina Yusop dan Pegawai Daerah Lipis, YH. Dato’ Mohd Hafizi Ibrahim.
Justeru, orang ramai diminta supaya dapat bersabar menanti projek ini dapat beroperasi selepas siap sepenuhnya pada Disember nanti.
“Mereka perlu bersabar projek ini ‘matter of time’ dan mereka boleh nampak depan mata bukan kita cakap benda yang tidak buat lagi, hanya ‘matter of time’ untuk projek ini disiapkan,” katanya.
Projek ORS ini merupakan pendekatan yang dilaksanakan bertujuan memastikan bekalan air bersih dapat disediakan bagi manfaat penduduk setempat selain dapat menampung pertambahan jumlah penduduk dan perkembangan industri serta dapat juga digunakan untuk aktiviti rekreasi dan sukan air kelak.