Skuad Skuasy Lengkapkan Sasaran Tujuh Emas Di Sukan Asia

JAKARTA – Selepas dua kali gagal meraih pingat emas dalam Sukan Asia, pasukan skuasy lelaki negara akhirnya menamatkan penantian lapan tahun mereka dengan menundukkan Hong Kong 2-1 sekali gus memastikan Malaysia mencapai sasaran untuk membawa pulang tujuh pingat emas daripada temasya di Jakarta-Palembang itu.

Ivan Yuen, Nafiizwan Adnan dan Ng Ean Yow kesemuanya layak mendapat pujian besar setelah berhempas pulas dalam temasya edisi ke-18 ini dengan memastikan pilihan utama kejohanan pulang dengan pingat perak.

Walaupun pasukan negara pada awalnya kelihatan bakal pulang selaku naib juara selepas Ivan tewas 7-11, 18-20, 11-9, 8-11 kepada Yip Tzs Fung dalam perlawanan perseorangan pertama namun Nafiizwan menghidupkan semula semangat pasukan negara selepas mengetepikan Max Lee 11-9, 11-7, 11-7.

Perseorangan ketiga negara yang juga juara remaja dunia, Eain Yow memastikan pingat emas menjadi milik Malaysia selepas menang 11-7, 11-7, 11-4 ke atas Au Chun Ming.

“Sebaik sahaja turun ke galanggang saya tidak memikirkan soal lain dan bertekad untuk membantu pasukan meraih kemenangan malam ini.

“Saya akui kami berdepan dengan pasukan di ranking yang lebih tinggi seperti Hong Kong adalah tugas yang sukar dan ramai meragui kemampuan kami untuk menewaskan mereka.

“Saya sangat berpuas hati kerana berjaya melengkapkan emas ketujuh Malaysia,” kata Eain Yow yang kini menghuni kedudukan ke-44 dunia.

Pingat gangsa pula dikongsi Pakistan dan juara empat tahun lalu India yang tewas kepada Malaysia dalam separuh akhir.

Hong Kong walau bagaimanapun tidak kecewa sepenuhnya apabila pulang dengan emas berpasukan wanita selepas mereka menumpaskan India 2-0 manakala Malaysia yang kalah kepada India dalam separuh akhir berkongsi gangsa bersama Jepun. – UTUSAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.