Pemandu dan Pelajar UiTM Maut, Bas Langgar Batu Pembahagi Jalan

KEMALANGAN maut membabitkan bas ekspres dua tingkat di Jalan Ipoh-Lumut berhampiran Batu Gajah Perdana, hari ini mengorbankan nyawa pemandu dan penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM) Seri Iskandar.

Dua mangsa yang maut adalah pemandu bas, Mohamad Azizul Che Aziz, 31, dan penumpang, Munzirah Jalaludin, 20, penumpang yang juga penuntut UiTM Seri Iskandar.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Perak, Superintendan Ahmad Adnan Basri berkata, kejadian kira-kira 5 pagi itu membabitkan bas dengan 38 penumpang dan dua pemandu.

“Siasatan awal mendapati bas berkenaan dalam perjalanan dari Kota Bahru ke Lumut dan ketika sampai di Kilometer 12.5 Jalan Ipoh-Lumut , Batu Gajah dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas dan melanggar batu pembahagi jalan.

“Akibat kemalangan itu pemandu bas dan seorang penumpang perempuan meninggal dunia di tempat kejadian serta beberapa penumpang lain mengalami kecederaan,” katanya ketika dihubungi di Ipoh, hari ini.

Menurutnya, pemandu bas yang maut beralamat di Kampung Sungai Perupok, Bachok, Kelantan, manakala penumpang berkenaan pula beralamat Taman Desa Johan Lubok Jong, Pasir Mas, Kelantan.

“Penumpang yang maut itu adalah penuntut UiTM Seri Iskandar, dekat sini yang menuntut dalam jurusan diploma hartanah tahun ketiga.

“Mangsa yang cedera adalah 14 penumpang luka luka kecil dan empat penumpang lagi cedera ringan manakala dua penumpang patah tangan dan luka berjahit di mulut serta dekat mata,” katanya.

Ahmad Adnan berkata kesemua mangsa dibawa ke Hospital Batu Gajah untuk rawatan dan tindakan lanjut. – Hmetro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.