Kalau Rakyat Tahu Awal Beginilah Kesan SST, PH Takkan Menang PRU14

SHAH ALAM – Bekas Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Maslan menyifatkan PH tidak akan memenangi PRU14 sekiranya rakyat menyedari pelaksanaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) melibatkan cukai bertingkat.

Menurut Ahli Parlimen Pontian itu, apabila Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) 6 peratus dimansuhkan, PH menggantikan dengan SST dengan kadar 5 peratus, 6 peratus dan 10 peratus.

“Jika pada nafas yang sama disebut mansuh GST dan diganti SST 5 peratus, 6 peratus,10 peratus, mereka mungkin tak menang PRU14,” katanya melalui Twitter pada Sabtu.

Menurut beliau, harga barang memang akan naik selepas pelaksanaan SST kerana peniaga akan memasukkan kos SST itu dalam harga barang.

“Memang (harga) barang akan naik. Daripada 0 peratus cukai kepada 5 peratus, 6 peratus, 10 peratus SST. Tak kiralah berapa jumlah barang yang kena SST, barang itu akan naik harga.

“Sebab SST itu jadi kos kepada peniaga dan dimasukkan dalam harga, rakyatlah yang kena bayar. Kadar cukai 10 peratus atau 5 peratus tak dimasukkan dalam resit,” katanya.

Semalam, kerajaan kembali melaksanakan SST selepas memansuhkan GST yang diperkenalkan BN pada 1 April 2015 yang diletakkan pada kadar 0 peratus sejak 1 Jun lalu.

Pelbagai reaksi membanjiri media sosial berhubung pelaksanaan itu di mana rata-rata pengguna melahirkan rasa tidak puas hati berhubung pengenaan cukai ke atas tambah nilai prabayar.

Namun Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo mengesahkan pihaknya akan mengeluarkan kenyataan berhubung perkara itu tidak lama lagi. – Sinar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.