Rafizi Gesa Tindakan Disiplin Pemimpin PKR Sebar Maklumat Salah Pada Media

SHAH ALAM – Baru sahaja PKR menafikan mengambil tindakan disiplin ke atas Rafizi Ramli kerana mendedahkan kemelut dalaman parti, hari ini Naib Presiden itu pula menggesa tindakan diambil ke atas beberapa pemimpin yang menurutnya kerap memberikan maklumat tidak benar kepada media.

Beliau menyelar pemimpin berkenaan yang berselindung di sebalik nama ‘sumber dalaman parti’ yang mana dakwanya menyumbang kecelaruan dalam parti.

“Ada beberapa orang pimpinan KEADILAN (PKR) yang gemar memberikan gambaran yang salah kepada pihak media dengan berselindung di sebalik nama ‘sumber dalaman parti’ untuk memastikan pandangan mereka diambil sebagai pandangan umum, walaupun itu bertentangan dengan perbincangan atau keputusan sebenar Biro Politik atau Majlis Pimpinan Pusat (MPP).

“Selagi 2-3 orang ahli Biro Politik ini tidak berdisiplin dan memberikan maklumat yang salah kepada pihak media dan anggota parti, keadaan akan terus bercelaru,” katanya dalam satu kenyataan yang disiarkan di laman Facebook beliau.

Rafizi mengambil contoh beberapa insiden berkaitan yang mana akhirnya mengundang kekalutan lantaran perbuatan pemimpin-pemimpin tersebut.

Antaranya sewaktu pelantikan calon Menteri Besar Selangor bagi menggantikan Tan Sri Khalid Ibrahim dan juga ketika Pilihan Raya Negeri Sarawak.

“Walaupun mesyuarat Biro Politik dan Majlis Pimpinan Pusat dengan secara jelas memutuskan hanya satu calon untuk jawatan Menteri Besar iaitu Dato’ Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, ada sahaja berita-berita dari sumber tidak rasmi kononnya ada keputusan yang berbeza.

“Perkara yang sama berlaku menjelang Pilihanraya Negeri Sarawak. Sedang Biro Politik berkali-kali memutuskan untuk mempertahankan perjanjian pembahagian kerusi yang telah dipersetujui di peringkat Majlis Presiden Pakatan Harapan, ada segelintir ahli Biro Politik yang menghantar mesej yang berlainan kepada pimpinan KEADILAN di Sarawak, yang akhirnya sampai kembali kepada saya sebagai Setiausaha Agung apabila mereka (pimpinan akar umbi) mahu mengesahkan berita itu,” katanya lagi.

Beliau menambah, pimpinan parti sewajarnya perlu lebih fokus dalam persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) berbanding melayan berita ‘dalaman’.

Ini bukan kali pertama Rafizi meluahkan rasa ‘terkilan’ dengan segelintir pimpinan dalam parti.

Beliau minggu lalu secara terbuka mendedahkan kepincangan dalaman parti, yang mana dakwanya mesyuarat Biro Politik adalah tempat polemik yang tidak berkesudahan kerana tidak menghasilkan gerakan yang berkesan di peringkat akar umbi.

Dek kerana situasi itu menurut Rafizi, beliau mengambil keputusan untuk tidak hadir mesyuarat biro sejak 2016.

Ujarnya, beliau lebih gemar bekerja di peringkat akar umbi PKR berbanding membazir masa berada dalam pertelingkahan tanpa penghujung dalam bilik mesyuarat. – AntaraPos

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.