Najib Sumbang 12 Ekor Lembu Korban Untuk UMNO Pekan

PEKAN – Sebanyak 12 ekor lembu sumbangan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dikorbankan di Seri Kenangan, di sini, hari ini.

Setiausaha UMNO bahagian, Datuk Ahmad Azmey Abu Talib, berkata jumlah itu bertambah berbanding tahun lalu iaitu lapan ekor.

Katanya, penambahan itu juga bagi memastikan lebih ramai penduduk Parlimen Pekan menerima sumbangan daging.

“Tahun ini sambutan lebih meriah kerana kita dapat 12 ekor lembu disumbangkan Datuk Seri Najib. Di kawasan lain pun sama. Di masjid sekitar Pekan juga dapat penambahan jumlah lembu korban.

“Selain di sini, ada 60 masjid, 166 surau, 33 agensi kerajaan dan badan bukan kerajaan di Pekan turut menerima sumbangan untuk melaksanakan ibadah korban bermula semalam,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis korban anjuran UMNO Bahagian Pekan, hari ini.

Yang turut hadir Timbalan Ketua UMNO Bahagian Pekan, Datuk Abu Bakar Harun dan Naib Ketua UMNO Bahagian, Datuk Khairuddin Mahmud.

Kira-kira 200 sukarelawan membabitkan pemimpin UMNO Bahagian, sayap parti dan penduduk setempat berganding bahu bergotong royong melapah, memotong dan mengagihkan daging korban.

Sempena sambutan Aidiladha tahun ini, Perdana Menteri menyumbang 458 lembu untuk dikorban di seluruh Parlimen Pekan. – BH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.