Khidmat Kim Swee Masih Ditagih

Pengurus pasukan bawah 22 tahun (B-22), Datuk Mohd. Yusoff Mahadi optimis masa depan Datuk Ong Kim Swee bersama Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bakal terjawab dalam tempoh terdekat.

Mohd. Yusoff juga yakin bahawa khidmat Kim Swee masih diperlukan dalam misi membentuk skuad mantap sebelum berlepas ke China bagi mengharungi kejohanan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) B-23 Januari depan, lapor Kosmo.

Katanya, pengendali kelahiran Melaka itu telah membuktikan keupayaannya termasuk membantu skuad muda layak bermain di pusingan akhir AFC B-23 serta membimbing pasukan negara ke pentas final Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017).

Beliau yang juga Timbalan Presiden FAM percaya, prestasi Kiw Swee pada kedua-dua kejohanan tersebut pasti diambil kira pihak pengurusan sebelum membuat sebarang keputusan.

“Kita boleh lihat skuad B-22 sejak di bawah Kim Swee telah berjaya mencapai dua keputusan positif tahun ini. Kejayaan terbesar kita adalah bermain di Piala AFC serta final Kl2017.

“Biarpun kita tewas 0-1 kepada Thailand tetapi kejayaan itu dianggap begitu baik sebagaimana Presiden FAM, Tunku Ismail Sultan Ibrahim mengakui skuad muda negara telah menunjukkan prestasi positif.

“Saya fikir pada awalnya pasukan ini tidak diletakkan harapan tinggi tetapi saya percaya ia boleh dijadikan sebagai penilaian kepada Kim Swee yang bakal tamat kontraknya akhir tahun ini,” katanya.

Masa depan Kim Swee mula menjadi bualan ekoran spekulasi yang mengaitkan jurulatih itu berada dalam radar kelab-kelab Liga Super Indonesia (ISL).

Kim Swee, 46, bakal tamat kontrak pada Disember depan, mula menjadi perhatian serius kelab-kelab yang menduduki kelompok lima terbaik di ISL antaranya pasukan berpangkalan di Jakarta yang dikhabarkan telah menghubungi jurulatih itu secara peribadi.

Nama Kim Swee bukan asing buat peminat-peminat Indonesia kerana pengendali kelahiran Melaka itu sentiasa menjadi ‘duri dalam daging’ buat pasukan kebangsaan mereka termasuk menyingkirkan Garuda Muda dalam aksi separuh akhir KL2017 baru-baru ini.

Dalam perkembangan sama, Mohd. Yusoff mendedahkan keputusan sama ada mengekalkan Kim Swee atau sebaliknya bergantung kepada Jawatankuasa Teknikal tetapi pada masa sama, beliau berharap keputusan itu boleh dicapai segera sebelum menghadapi kejohanan AFC B-23 yang berbaki kurang empat bulan.

“Saya fikir untuk melantik jurulatih baharu agak susah kerana tempoh masa yang singkat. Peluang untuk Kim Swee disambung kontraknya ada, tetapi bergantung kepada keputusan pihak pengurusan.

“Kalau berdasarkan perancangan awal, pemain perlu dipanggil semula pada Disember ini sebelum ke China. Kali ini kita perlu melakukan persiapan lebih rapi dan bukannya secara tergesa-gesa untuk menyediakan pasukan lebih mantap,” ujarnya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.