Kak Siti Bakar Semangat Nana

KUALA LUMPUR: Penyanyi Siti Nordiana terharu menerima kata-kata semangat daripada Datuk Siti Nurhaliza ketika dirinya berdepan kritikan peminat yang mempertikai gaya nyanyiannya pada acara penutup Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL 2017), baru-baru ini.

Pelakon drama Dia Semanis Honey itu mengakui, nasihat daripada penyanyi nombor satu negara itu menyuntik semula keyakinan dalam dirinya yang berdepan komen negatif ketika membawakan dua lagu popular, Cindai dan Lebih Indah pada 30 Ogos lalu.

“Saya amat menghargai, malah berterima kasih atas kata-kata semangat yang diberikan oleh penyanyi yang begitu saya kagumi.

“Saya terharu apabila kak Siti menasihatkan supaya tidak mempedulikan kecaman netizen, malah memuji usaha saya untuk memberikan persembahan terbaik pada malam itu,” katanya.

Siti Nordiana yang mesra disapa Nana sebelum ini dikritik netizen yang menyifatkan dia tidak sesuai membawakan lagu nyanyian Siti, malah mutu persembahannya juga dianggap tidak mencapai standard sepatutnya.

“Sebagai manusia, saya juga mempunyai hati dan perasaan. Bukan tidak pernah dikecam sebelum ini, tetapi apabila dikritik teruk, ia memberi kesan yang mendalam terutama apabila saya sudah berusaha memberikan yang terbaik.

“Mustahil untuk saya memberikan persembahan setanding kemampuan penyanyi asal, tetapi saya sudah mencuba. Saya berbangga kerana diberi peluang menyanyikan lagu Datuk Siti Nurhaliza,” katanya.

Penyanyi yang sedang popular dengan lagu Nisan Cinta, duet bersama-sama Jaclyn Victor itu berkata, kecaman yang diterima tidak membuatnya lemah sebaliknya ia dijadikan senjata untuk memperbaiki diri, sekali gus membakar semangatnya bekerja dengan lebih keras.

Dalam perkembangan lain, Siti Nordiana akan tampil dengan telefilem, Cekelat Semanis Honey bergandingan dengan Fikry Ibrahim di saluran Astro Citra dan Mustika jam 9 malam ini. Ia diarahkan Eyra Rahman.-Bharian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.