Pendaftaran Bersatu Lulus Minggu Depan

PETALING JAYA – Pendaftaran Parti Pribumi Bersatu Malaysia yang bakal dipimpin Tan Sri Muhyiddin Yassin dijangka diluluskan secara rasmi pada 9 September ini.

 

 

Setiausaha penaja Bersatu, Kamarulazman Habibur Rahman berkata, selepas pihaknya memenuhi segala syarat yang ditetapkan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS), mereka sudah boleh menggerakkan parti itu.

 

“Wakil RoS sangat berpuashati dan kagum dengan usaha dan tindakan yang telah kita lakukan dalam melaksanakan perubahan yang perlu terhadap segala teguran dan cadangan yang dibuat oleh pihaknya,” katanya.

 

“Kita mengharapkan tiada lagi sebarang halangan bagi kelulusan penubuhan Bersatu selaras dengan kenyataan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi selaku Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri bahawa permohonan ini akan diluluskan tanpa sebarang masalah.”katanya lapor sebuah portal.

 

Bersatu yang dinaungi Tun Dr Mahathir Mohamad dan beberapa bekas pemimpin kanan Umno lain, membuat permohonan didaftarkan sebagai parti politik pada 9 Ogos lalu.
Keahlian parti itu terbuka kepada rakyat Malaysia yang berstatus Bumiputera sahaja, mengundang kritikan sesetengah penyokong pembangkang mengenai arah tujunya yang berdasarkan perkauman seperti parti komponen Barisan Nasional.

 

Sebelum ini, Dr Mahathir menjelaskan Bersatu memilih menjadi parti pribumi supaya dapat bersaing dengan Umno yang selama ini disifatkan parti keramat Melayu.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.