Menteri Pertahanan Jawab Dakwaan Abai Balu Tentera

SHAH ALAM – Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam satu kenyataannya telah menjelaskan isu bayaran dan imbuhan yang diterima balu Allahyarham Kapten Hasman Hussin, Hazwani Ahmad yang dikatakan tidak setimpal.

 

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, sejumlah wang sudah diterima Hazwani sejak awal tahun lalu.

 

Menurutnya, bayaran yang dibuat adalah berdasarkan syarat perkhidmatan arwah suami beliau selama lapan tahun bersama ATM.

 

“Sejak awal tahun lalu, jumlah wang yang diterima Hazwani ialah sebanyak RM274,542.49, ini termasuklah pendahuluan gaji, insurans kelompok, ganjaran dan tunggakan pencen serta Faedah Ganti Cuti Rehat (FGCR).

 

“Selain itu, beliau turut menerima bayaran RM916.75 setiap bulan untuk pencen terbitan bulanan,” katanya dalam satu kenyataan.

 

Sebelum ini, Hazwani di laman Facebook mengatakan pencen tanggungan anak-anak tidak boleh dibayar kerana arwah suaminya meninggal dunia ketika bercuti sewaktu menghadiri kursus di Amerika Syarikat.

 

Hasman meninggal dunia ketika bercuti semasa ditugaskan mengikuti Kursus Kerjaya Kapten Jurutera bermula 1 Oktober dan dijadualkan berakhir 15 April 2016.

 

Hasman Hussin yang dilaporkan hilang 26 Disember lalu, selepas dihanyutkan banjir di Pulaskit County, Missouri, Amerika Syarikat, disahkan meninggal dunia.

 

Mayat Allahyarham ditemui 11 pagi waktu tempatan pada 28 Disember.

 

Tambah Datuk Seri Hishammuddin lagi, sekiranya imbuhan dan bayaran yang diterima masih belum mencukupi, dia sedia mendapatkan bantuan daripada pihak ketiga termasuk pihak industri pertahanan bagi membantu isteri dan anak-anak arwah.

 

“Isu kebajikan anggota sangat dekat di hati saya. Semoga segala masalah yang dihadapi dapat diselesaikan dengan baik,” katanya. – Sinar

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.