Suspek Kedua Serangan Bom Di Bangkok ditangkap

BANGKOK – Pihak berkuasa keselamatan Thailand menahan seorang suspek yang dipercayai terlibat dalam serangan bom di Bangkok dua minggu lepas di sebuah wilayah dekat sempadan Thai-Kemboja.

 

Perdana Menteri Jeneral Prayuth Chan-ocha, berkata suspek lelaki itu ditangkap pagi ini di wilayah Thailand, membayangkan yang negara telah mencapai kemajuan besar dalam kes berkenaan sejak tertangkapnya suspek pertama pada Sabtu.

 

“Saya telah diberitahu mengenai penangkapan suspek itu semasa waktu makan tengah hari. Beliau ditangkap di perkampungan Parai di wilayah Sakeaw,” katanya pada taklimat media.

 

Beliau menyifatkan lelaki itu sebagai suspek penting. Wilayah Sakaew terletak di bahagian timur Thailand dan kira-kira tiga jam perjalanan kereta dari Bangkok.

 

Sementara itu, pihak berkuasa Thailand enggan menamakan suspek atau kewarganegaraannya, walaupun media sosial telah memberikan maklumat tersebut.

 

Menurut maklumat di media sosial, Twitter, aplikasi chatting LINE dan Facebook, suspek yang ditahan hari ini ialah seorang warga China berusia 25 tahun berasal dari Xinjiang, wilayah kumpulan etnik Muslim Uighur.

 

Beliau didakwa cuba meninggalkan Thailand secara haram. – Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.