Langgar Bai’ah: Wakil Rakyat PAS Akan Bayar Kafarah – Khalid Samad

Shah Alam – Wakil rakyat PAS akan membayar kafarah yang sesuai sebagai ‘denda’ kerana melanggar baiah parti itu, kata Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad.

 

Pada masa sama, beliau menggesa pemimpin PAS akan membiarkan Allah untuk menentukan halal-haram tindakan 12 wakil rakyat itu yang menyertai Parti Amanah Negara kerana tidak lagi bersetuju dengan arah haluan PAS.

 

Khalid menegaskan Allah lebih mengetahui niat beliau dan rakan-rakannya meninggalkan PAS, seraya membiarkan segala pertimbangan halal dan haram elaun yang diterima diserahkan kepada Allah sebulat-bulatnya.

 

“Kita yakin bahawa Allah Maha Adil dan Maha Mengetahui dan Dia Mengetahui bahawa niat kita buat ini adalah untuk kepentingan politik Islam itu sendiri bukan atas sebab kepentingan peribadi,” kata beliau kepada Antarapos.

 

“Oleh kerana itu, kita yakin bahawa halal atau pun tidak, Allah yang tentukan dan Allah akan menentukan dengan cara yang adil berdasarkan kepada ilmu yang dipunyaiNya,” tambah beliau.

 

Beliau mengulas kenyataan Timbalan Presiden PAS, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah yang menyifatkan semua 12 Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PAS yang menyertai Amanah menerima elaun haram sebagai wakil rakyat kerana melanggar baiah yang ditandatangani mereka sebelum ini.

 

Khalid dalam pada itu berkata kesemua mereka yang meninggalkan PAS sebagai wakil rakyat akan membayar kafarah kerana melanggar baiah parti itu.

 

“Dari segi melanggar baiah ini ada kaedahnya, di mana ada kafarah yang perlu dibayar dan perkara ini akan saya lakukan dan akan diadakan sidang media mengenainya esok,” katanya.

 

“Kafarah ini macam denda. Memang dalam syariat Islam ini ada …. yang membenarkan kita (yang) terpaksa melanggar sesuatu janji atas sebab-sebab tertentu, maka kita boleh membayar khafarah untuk menebus dosa atau pun kesalahan melanggar baiah ini,” katanya lagi.

 

Ditanya samada kafarah yang akan dibayar memerlukan tebusan wang yang banyak, Khalid memberikan beberapa contoh kafarah mengikut syariat Islam.

 

“Tak..tak (banyak) kot…zaman dulu-dulu, dia bebaskan hamba abdi, yang kedua ialah memberi makan kepada orang miskin seramai 10 orang, makanan yang biasa kita makan dan kita berikan kepada mereka atau pun yang ketiga ialah berpuasa untuk tiga hari bagi yang tidak mampulah,” katanya.

 

Ditanya sama ada baiah PAS tertera dengan pembayaran kafarah, Khalid menegaskan apa yang penting ialah konsep baiah atau perjanjian yang serupa dengannya.

 

“Dalam mana-mana baiah atau mana-mana janji pun, kalau kita terpaksa langgar, maka ada kaedah (mengatasi)nya,” katanya.

 

Khalid menegaskan, tindakan beliau dan rakan-rakanya untuk keluar daripada PAS bukan atas sebab ‘suka-suka’.

 

“Pelanggaran baiah bukan atas alasan kita mnengkhianati perjuangan Islam tetapi oleh kerana PAS sendiri telah mengubah laluannya dari sejak semasa pilihan raya itu yang menyebabkan kita terpaksa meninggalkan PAS dan membuat keputusan untuk membentuk parti baru,” katanya.

 

Pada Isnin lalu, Pengerusi Gerakan Harapan Baru (GHB) Mohamad Sabu mengumumkan Parti Amanah Negara (Amanah) sebagai wadah politik gerakan itu.

 

Selain Khalid, Ahli Parlimen PAS yang menyertai Amanah ialah Datuk Dr Mujahid Yusof (Parit Buntar), Dr Siti Mariah Mahmud (Kota Raja), Dr Hatta Ramli (Kuala Krai), Hanipa Maidin (Sepang), Raja Kamarul Bahrin (Kuala Terengganu) dan Kamaruddin Jaafar (Tumpat).

 

Turut berbuat demikian adalah lima ADUN PAS iaitu Datuk Seri Dr Nizar Jamaluddin (Changkat Jering), Aminolhuda Hassan (Parit Yaani), Datuk Phahrolrazi Zawawi (Pengkalan Kundor), Saari Sungib (Hulu Kelang) dan Hasnul Baharudin (Morib). – AP

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.